comscore
Tumpuan :
Nasional

Peruntukan ADUN pembangkang Pulau Pinang kekal RM60,000 setahun

Oleh: Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengekalkan peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang sebanyak RM60,000 setahun.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata jumlah peruntukan itu ditetapkan berdasarkan kemampuan kewangan Kerajaan Negeri.

“Kita akan meneruskan pemberian peruntukan kepada wakil-wakil pembangkang seperti yang dilakukan sebelum ini.

“Tetapi memang ada perbezaan antara peruntukan kepada wakil kerajaan dan wakil pembangkang

“Wakil kerajaan akan menerima RM500,000 setahun, manakala wakil pembangkang akan menerima RM60,000 setahun,” katanya dalam sidang media di Pejabat Ketua Menteri di KOMTAR, di sini, tengahari tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Kerajaan Negeri bercadang untuk melaksanakan pemberian peruntukan sama rata kepada ADUN pembangkang dalam Bajet 2024 seperti dipohon oleh pihak pembangkang.

Jelasnya, setakat ini Kerajaan Negeri hanya berhasrat untuk meneruskan jumlah peruntukan yang diberikan seperti penggal sebelum ini.

Kon Yeow, yang juga Ahli Parlimen turut ditanya sama ada Kerajaan Negeri akan mengikuti langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta pembangkang di Dewan Rakyat untuk berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri
Fadillah Yusof berhubung permintaan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

“Kita hanya teruskan yang kita lakukan (sebelum ini). (Kalau pembangkang mahu lebih) Kita tak cadang lebih, itu saja yang kita mampu,” tambahnya lagi.

Loading...
Terkini