comscore
Tumpuan :
Nasional

Penjawat awam Pulau Pinang terima bonus setengah bulan gaji, minimum RM1,000

Oleh: Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan bayaran bonus setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada penjawat awam di negeri itu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan pemberian bonus itu dalam pembentangan Bajet 2024 Pulau Pinang di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Katanya, seramai 3,867 penjawat awam akan menerima pembayaran keseluruhan sebanyak RM6.1 juta pada bulan Disember.

“Pemberian ini bagi menghargai penjawat awam bagi 2023 yang banyak berjasa dengan kerajaan negeri.

“Kerajaan Negeri amat bertuah kerana memiliki barisan penjawat awam yang berdedikasi, berintegriti dan komited dalam memastikan dasar-dasar kerajaan negeri dilaksanakan secara berkesan.

“Sebagai apresiasi dan penghargaan kepada penjawat awam negeri, kerajaan meluluskan bayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada penjawat awam di negeri ini,” katanya.

Kon Yeow berkata, selain penjawat awam, penyelia dan guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), guru Sekolah Rendah Agama Rakyat, guru Sekolah Menengah Agama Rakyat, guru serta staf sekolah persendirian Cina juga mendapat bayaran imbuhan sebanyak RM300.

“Pemberian sebanyak RM300 ini juga turut dipanjangkan kepada guru tahfiz, guru pondok dan guru tadika Islam (TADIS) Pulau Pinang yang akan melibatkan tambahan perbelanjaan berjumlah RM1 juta.

“Bayaran BKK dan pemberian ini juga akan dibuat pada bulan Disember ini,” katanya.

Kata beliau lagi, jumlah anggaran keseluruhan implikasi kewangan bagi kedua-kedua pemberian bonus itu adalah RM7.1 juta.

Loading...
Terkini