comscore
Tumpuan :
Nasional

PM mahu manfaat kepakaran di universiti dalam agenda kemajuan negara

Oleh: Selwam Arjunan

SEBERANG JAYA: Perdana Menteri mahu kepakaran pelbagai bidang yang dimiliki  institusi pengajian tinggi (IPT), khususnya universiti di negara ini diangkat dan dimanfaatkan Kerajaan Pusat dalam memacu kemajuan negara dengan lebih pesat.

Justeru, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan meminta pengurusan IPT dan universiti berkongsi laporan terperinci berkenaan kepakaran, tenaga akademik dan penyelidik yang dimiliki supaya dapat dipadankan dengan perancangan Kerajaan Pusat.

Jelasnya, inisiatif itu bagi memastikan wujudnya sinergi dan kerjasama langsung dengan IPT dan universiti yang dapat dimanfaatkan oleh kerajaan.

“Kepakaran universiti ini mesti diangkat sepenuhnya kerana ini belum dilakukan dan ini menjadi kerugian kepada negara.

“Jadi saya minta laporan terperinci supaya universiti berikan bidang-bidang tenaga akademik dan penyelidik untuk kita sesuaikan di jabatan atau kementerian mana supaya ada sinergi dan dapat dimanfaatkan (oleh Kerajaan Pusat).

“Sekiranya ini dapat dilakukan dalam tempoh segera, kita boleh pacu ekonomi dan mencapai pertumbahan enam peratus dalam masa singkat selain pelaburan negara juga boleh bertambah di luar jangkaan,” katanya.

Beliau turut mengambil contoh situasi di negara China mengenai bagaimana sinergi antara kerajaan dan kepakaran universiti sangat aktif dilakukan dan menguntungkan negara tembok besar itu, sedangkan Malaysia masih lagi terikat dengan pendekatan lama.

Beliau berucap merasmikan Majlis Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia Ke-16 (PERKEM 16), di sini, yang turut dihadiri Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman.

Persidangan tahunan anjuran Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), UKM bertemakan ‘Ketahanan dan Keterangkuman dalam Memacu Pemulihan Ekonomi di Era Ketidakpastian Geo-Politik’ itu disertai kira-kira 350 orang membabitkan kakitangan pentadbiran dan profesional dari sektor awam dan swasta.

Ia turut membabitkan pembentangan sebanyak 76 kertas kerja oleh 91 individu dalam pelbagai bidang kepakaran termasuk dari Malaysia dan luar negara.

Sementara itu,  Anwar berkata beliau juga akan meminta Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi mendapatkan input daripada kepakaran di IPT  serta universiti dalam merangka Bajet Madani 2.0 yang akan dibentangkan Oktober depan.

“Saya minta input daripada IPT. (Kalau ada) Teguran, kritikan daripada akademik, saya okay, tidak ada masalah.

“Jangan bimbang kalau ada ahli akedmik yang memberi pandangan sedikit menyimpang, saya tidak ada masalah menerima.

“Sebab saya mahu kita bekerjasama sebagai satu pasukan, supaya ada sinergi yang jelas antara universiti dan kerajaan dan saya minta Kementerian Kewangan untuk Belanjawan Madani Kedua, pada Oktober ini, supaya rangkum semua kekuatan yang ada pada kementerian, universiti awam serta swasta,” katanya.

Loading...
Terkini