comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Peruntukan RM650 juta selenggara tandas mula diagih kepada semua sekolah

NILAI: Usaha kerajaan menyelesaikan segera isu sekolah daif di seluruh negara terbukti apabila peruntukan sebanyak RM650 juta daripada keseluruhan RM1.4 bilion mula diagihkan kepada semua sekolah minggu ini.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali, berkata setiap sekolah akan menerima peruntukan sebanyak RM70,000 bagi menyelesaikan masalah penyelenggaraan tandas yang diberi keutamaan pada masa ini.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali (tengah) bersama sebahagian peserta seminar. Foto : NSTP

Katanya, usaha itu dilakukan untuk kepentingan dan keselesan pelajar.

“Semua sekolah di bawah Kementerian Pendidikan akan menerima peruntukan sebanyak RM70,000 mulai minggu ini bagi melaksanakan kerja penyelenggaraan tandas sekolah.

“Peruntukan ini membabitkan sebanyak RM650 juta daripada keseluruhan RM1.4 bilion seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi tujuan menyelesaikan masalah sekolah daif.

“Saya yakin kerja penyelenggaraan tandas ini dapat dimulakan dengan kadar segera dan kita (KPM) memberi tempoh tiga bulan kepada setiap sekolah untuk selesaikan kerja penyelenggaraan tandas sekolah ini,” katanya kepad pemberita di sini, lewat petang tadi.

Terdahulu, beliau mewakili Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, merasmikan Seminar Nasional Ke-30, Kepemimpinan Pendidikan Ke Arah Malaysia Madani di Institut Aminuddin Baki, Bandar Estek.

Media sebelum ini melaporkan Perdana Menteri meluluskan peruntukan sebanyak RM1.4 bilion bagi menyelesaikan segera isu sekolah daif di seluruh negara demi memenuhi keperluan pendidikan.

Dalam pada itu, Pkharuddin berkata, Pengetua Kolej Pra-Universiti KPM diberikan kuasa autonomi dalam menentukan kemasukan pelajar ke Tingkatan Enam, tahun ini.

Beliau berkata, ia adalah pendekatan baharu KPM dalam memastikan lebih ramai pelajar yang layak dan berkebolehan masuk ke Tingkatan Enam.

“Ada pelajar yang kurang layak dari segi keputusan sijil untuk ke Tingkatan Enam tetapi mereka ada kebolehan lain seperti dalam sukan dan sebagainya.

“Pengetua boleh menawarkan tempat kepada pelajar ini kerana KPM sudah memberikan kuasa autonomi kepadanya dan kita lihat pelajar ke Tingkatan Enam mempunyai kematangan lebih tinggi.

“Kita memberi galakan kepada pelajar terutama dari keluarga bawah B40 meneruskan pengajian ke Tingkatan Enam kerana kita sudah sediakan tempat yang sesuai untuk mereka ini,” katanya.

Katanya, satu garis panduan mengenai kemasukan ke Tingkatan Enam ini sedang disiapkan oleh KPM.

Loading...
Terkini