comscore
Tumpuan :
Nasional

Utamakan peruntukan selenggara kipas sekolah

PUTRAJAYA: Semua pengarah pendidikan negeri dan daerah diarahkan untuk mengutamakan peruntukan yang telah disalurkan bagi tujuan penyelenggaraan kipas di sekolah susulan fenomena cuaca panas ketika ini, kata Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali.

Beliau berkata arahan berkenaan dikeluarkan dalam sesi libat urus bersama semua pengarah pendidikan pada 3 Mei lalu untuk memastikan fasiliti itu berkeadaan baik dan berfungsi.

“Kita di KPM (Kementerian Pendidikan) sentiasa agihkan peruntukan khusus untuk penyelenggaraan fasiliti sekolah ke peringkat negeri dan daerah bagi memastikan kemudahan seperti kipas berfungsi dengan baik.

“Pesan kita (KPM) kepada pengarah-pengarah pendidikan negeri dan daerah supaya membelanjakan peruntukan terbabit untuk sebarang kerja penyelenggaraan secepat mungkin,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara KPM dengan Yayasan Bank Rakyat (YBR), hari ini.

Pkharuddin berkata arahan itu selaras dengan penetapan KPM pada 3 Mei lalu supaya pihak sekolah menghentikan semua aktiviti luar bilik darjah termasuk kokurikulum dan penganjuran sukan tahunan buat sementara waktu berikutan cuaca panas, demi keselamatan warga sekolah termasuk pelajar dan murid.

“Jadi apabila semua berada dalam bangunan sudah tentu aspek pengudaraan dalam kelas perlu kita beri perhatian,” katanya.

Media hari ini melaporkan fenomena cuaca panas telah mendorong ibu bapa membeli kipas mini elektrik untuk dibawa anak-anak ke sekolah bagi memastikan mereka selesa ketika mengikuti sesi pembelajaran di dalam kelas. – BERNAMA

Loading...
Terkini