comscore
Tumpuan :
Nasional

Pinda Kanun Tatacara Jenayah bagi pulangkan segera wang mangsa ‘scam’ – PM

Foto hiasan

Oleh: Ain Shafiqah Zaki

KUALA LUMPUR: Pindaan Kanun Tatacara Jenayah akan dilakukan supaya wang mangsa penipuan dapat dipulangkan lebih awal dan dikekalkan bon sebagai ganti, sementara kes mahkamah berjalan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pihaknya menyedari mangsa ‘scammer’ berdepan masalah untuk mengambil masa bagi menerima wang tersebut.

Justeru, Bank Negara Malaysia (BNM) meminta semua bank melaksanakan operasi pemantauan 24 jam dan menuju ke arah automasi bagi membolehkan pengguna mengambil tindakan menghentikan pengeluaran wang daripada bank serta-merta sekiranya berlaku penipuan atau ‘scam’.

Jelasnya, beberapa pindaan undang-undang akan dibuat termasuk membabitkan Kanun Tatacara Jenayah supaya wang mangsa penipuan dapat dipulangkan lebih awal dan dikekalkan bon sebagai ganti, sementara kes mahkamah berjalan.

Beliau berkata, sebanyak 3,595 kertas siasatan dibuka bagi kesalahan penipuan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kerajaan sudah mendapat pulangan daripada rampasan sebanyak RM34.8 juta.

“(Wang) yang sudah dirampas sekarang mengambil masa untuk dipulangkan dan ramai yang merayu sebab kes berlanjutan.

“Justeru, yang diputuskan adalah untuk dipinda Kanun Tatacara Jenayah supaya membolehkan pulangan (wang) itu segera, dengan syarat bon disediakan semasa kes berjalan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Bakri, Tan Hong Pin sama ada kerajaan mempunyai rancangan untuk memanjangkan masa operasi Pusat Respons Scam Kebangsaan kepada 24 jam bagi membantu segera mangsa penipuan mendapat bantuan yang tepat dan pantas dalam masa yang kritikal.

Loading...
Terkini