comscore
Tumpuan :
Nasional

PKP 14 Hari Di 6 Negeri Mulai Rabu

Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri – Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah untuk tempoh 14 hari bermula Rabu (13 Jan) hingga 26 Jan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata enam lagi negeri – Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan dilaksanakan PKP Bersyarat (PKPB) manakala PKP Pemulihan (PKPP) bagi Perlis serta Sarawak, untuk tempoh sama.

“Berdasarkan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta pelbagai kementerian dan agensi serta nasihat pakar-pakar kesihatan awam di dalam negara, kerajaan bersetuju dengan pandangan bahawa satu tindakan yang tegas perlu diambil untuk memutuskan rantaian jangkitan penularan virus COVID-19,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung di stesen-stesen televisyen tempatan hari ini.

Muhyiddin berkata negeri-negeri yang dikenakan PKP merupakan negeri yang berisiko tinggi hasil penilaian risiko oleh KKM dan tahap keupayaan perkhidmatan kesihatannya telah hampir mencapai kapasiti maksimum

Beliau berkata KKM akan membuat penilaian risiko secara berterusan bagi memutuskan sama ada pelaksanaan PKP itu akan ditamatkan atau diteruskan sebelum tempoh dua minggu berkenaan tamat. -BERNAMA

Loading...
Terkini