comscore
Tumpuan :
Nasional

PLUS komited capai sasaran ‘Net Zero’ menjelang 2050

Oleh: Shuhadah Marzuki

PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) meneruskan komitmennya untuk mencapai sasaran ‘Net Zero’ menjelang 2050 dalam mengurangkan penggunaan tenaga.

Sehingga kini, PLUS berjaya mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 25% melalui pelaksanaan pelbagai langkah kecekapan tenaga seperti pengubahsuaian lampu LED dan pemanfaatan tenaga boleh diperbaharui melalui pemasangan panel solar.

Inisiatif itu dilakukan di fasiliti milik PLUS merangkumi pejabat dan kawasan rehat.

Melalui usaha itu PLUS menerima beberapa pengiktirafan dan anugerah tenaga di peringkat kebangsaan dan serantau.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, PLUS bertekad untuk memberikan sokongannya terhadap sasaran ‘Net Zero’ 2050 negara dengan mengoptimumkan tenaga boleh diperbaharui, mempraktikkan amalan mobiliti rendah karbon, memanfaatkan penyelesaian berdasarkan alam semulajadi dan menggalakkan pemikiran serta budaya ekonomi kitaran.

“Sebagai pengendali lebuh raya yang terbesar di Malaysia, kami percaya kami berupaya untuk menerajui kelestarian dalam memajukan industri lebuh raya. Komitmen kami terhadap sasaran ‘Net Zero’ membolehkan kami menerajui inovasi dan kerjasama yang akan menyumbang kepada pembangunan negara.”

“Bagi mencapai misi kami bagi menghubungkan komuniti untuk mencorakkan masa hadapan yang selamat dan lestari, kami juga komited untuk beroperasi secara bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan sosial sambil mengamalkan amalan tadbir urus yang baik.”

Selari dengan aspirasi negara melalui ‘Net Zero’, PLUS turut menyasarkan untuk melaksanakan komitmen jangka masa pendek bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dalam ekosistem operasi lebuh raya sebanyak 35% menjelang 2030 berbanding tahun 2017.

PLUS bakal melancarkan Laporan Kelestarian pada penghujung bulan untuk memaparkan penzahiran yang menyeluruh terhadap usaha-usaha syarikat yang berterusan dalam mencorak masa hadapan yang lestari.

Loading...
Terkini