comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis bantuan dakwa terserempak ‘Pak Belang’ 

HULU SELANGOR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Selangor memasang kamera perangkap bagi mengesan harimau belang yang didakwa berada di Kilometer 18, Jalan Batang Kali-Genting Highlands, di sini, hari ini.

Ia susulan seorang anggota polis bantuan berusia 56 tahun membuat laporan mendakwa melihat haiwan liar itu pada jam 5.30 pagi tadi ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

Pengarah PERHILITAN Selangor, Dennis Ten Choon Yung, berkata pihaknya menerima panggilan daripada Balai Polis Gohtong Jaya berhubung kejadian itu pada jam 8.14 pagi.

“Kakitangan kami kemudian tiba di lokasi dan melakukan pemeriksaan awal.

“Siasatan mendapati kesan kehadiran harimau tidak dapat dikenal pasti kerana faktor muka bumi yang padat dan daun pokok tebal daripada jenis Akasia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Choon Yung berkata, kamera perangkap yang dipasang pihaknya bertujuan mengesahkan kehadiran haiwan liar itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, polis turut bekerjasama dengan Jabatan PERHILITAN daerah Hulu Selangor untuk membantu usaha mengesan harimau belang terbabit.

“Orang ramai diingatkan berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti di kawasan itu.

“Sekiranya mempunyai maklumat penemuan harimau belang itu, mereka boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di talian 03-60641222,” katanya.

Loading...
Terkini