comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tragedi Batang Kali: Pembaikan cerun capai kemajuan fizikal 55 peratus

 

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

PETALING JAYA : Kerja-kerja fizikal struktur cerun yang runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali Selangor sudah mencapai kadar kemajuan 55 peratus.

Menurut Cawangan Kejuruteraan Cerun, Jabatan Kerja Raya (JKR), susulan tragedi berkenaan, satu Jawatankuasa Kumpulan Kerja Tanah Runtuh (JKKTR) ditubuhkan untuk melakukan siasatan dan menyediakan laporan forensik.

“Kerja-kerja pembaikan cerun menggunakan kaedah ‘Terralink Wall System’ dan kerja-kerja berkaitan di laluan B66 Seksyen 14.0 Jalan Batang Kali-Genting, Hulu Selangor, Selangor sedang giat dijalankan JKR Negeri Selangor.

“Dengan harga kontrak sebanyak RM19 juta, kerja di tapak telah dimulakan pada 29 Mei 2023 dan dijangka dapat disiapkan pada 29 Mac 2024, dengan tempoh pembinaan selama 10 bulan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tinjauan Buletin TV3 di laluan Genting Highlands dan Hulu Yam mendapati kawasan berkenaan masih ditutup.

Penggunaan laluan itu hanya dihadkan kepada pekerja di Genting Highlands yang memiliki surat pengesahan majikan.

Sementara itu, pengusaha tapak perkhemahan mengambil iktibar atas kejadian berkenaan untuk lebih berhati-hati dalam pengurusan dan pengoperasian kawasan rekreasi.

Bagi pengusaha tapak perkhemahan di Batang Kali, Goh Ah Kim, 63, pemilihan tapak yang tidak mendatangkan risiko kepada pengunjung antara faktor perlu ditekankan.

Pengusaha tapak perkhemahan di Batang Kali, Goh Ah Kim.

“Kita tidak boleh sesuka hati menggerakkan , mencangkul tanah di kawasan yang dikehendaki, kalau ingin buat kerja-kerja melibatkan aktiviti tanah perlu bertanya terlebih dahulu kepada Pejabat Tanah Daerah, jadi mereka boleh melakukan semakan dan tinjauan di kawasan kita, kerana mereka lebih tahu daripada kita,” katanya kepada Buletin TV3.

Tambahnya, masyarakat juga perlu peka dan cakna terhadap pemilihan tempat rekreasi.

Abd Wahab Lela, Peniaga

“Elakkan kawasan yang terlalu tinggi, berbukit atau terlalu berhampiran dengan sungai itu yang mustahak, kadang kadang anak anak kita, kita tidak sangka dia jalan sana sini kita tidak nampak , tiba tiba kalau dia turun ke sungai bahaya,” ujarnya.

Pada 2 Disember lalu, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengeluarkan Garis Panduan Perancangan (GPP) tapak perkhemahan sebagai panduan pengurusan kepada pengusaha terbabit.

Enam prinsip digariskan meliputi keselamatan, keselesaan, kemampanan, kesinambungan sosial, kemakmuran ekonomi dan kepatuhan perundangan.

Sebelum ini, laporan forensik tragedi berkenaan mendedahkan dua kejadian runtuhan berlaku selang 20 minit pada awal pagi, 16 disember.

Runtuhan pertama iaitu jenis putaran berpunca daripada kegagalan kaki cerun dalam kawasan persendirian yang meliputi rizab jalan dan hutan, serta sebahagian tanah persendirian.

Seramai 31 orang maut yang kebanyakannya adalah guru, pelajar dan kakitangan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong di Kampung Batu, Jalan Ipoh bersama ahli keluarga mereka.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini