comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis buru dua suspek samun telefon bimbit, cedera pekerja


SABAK BERNAM:  Dua suspek dalam kes samun sebuah kedai telefon bimbit dan mencederakan pekerja sebuah premis perniagaan di Sungai Besar di sini, semalam kini diburu polis.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd Alias berkata, kejadian itu tular menerusi satu video di media sosial memaparkan tiga lelaki bergelut di hadapan kedai berkenaan.

Menurut beliau, satu laporan polis berkaitan kes samun dibuat penyelia premis berkenaan.

“Siasatan mendapati seorang pekerja wanita dan lelaki berada di kedai itu didatangi seorang suspek kononnya mahu membeli telefon jenis Iphone 14,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Bagaimanapun, Agus Salim memberitahu, suspek lelaki kemudian menyerang seorang pekerja dan merampas telefon di atas meja kaunter jualan.

Pekerja itu kemudian katanya mengejar suspek hingga ke luar premis dan berlaku pergelutan.

“Pada waktu itu, seorang lagi rakan suspek turut bergelut dengan pekerja tersebut, namun kedua-dua suspek melarikan diri dengan menaiki dua motosikal manakala pekerja tersebut mengalami kecederaan dan telefon yang dirampas turut tercicir di lokasi kejadian,” jelasnya.

Polis sedang giat menjalankan usaha memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Sabak Bernam, Asisten Superintendan Khairul Azmani Mohd. Zain di talian 03-32242222,” katanya.

Loading...
Terkini