comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Polis cari sekumpulan lelaki bakar mercun atas jalan raya

SEREMBAN: Polis sedang menjejaki sekumpulan lelaki yang membakar mercun di atas jalan raya di Kuala Sawah, Rantau, di sini, Sabtu lalu.

Menerusi rakaman yang tular sejak semalam, mereka dilihat melakukan aksi bahaya membakar mercun di persimpangan jalan sehingga menyebabkan trafik terhalang dari semua arah dan menakutkan orang awam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak berkata, kejadian dipercayai berlaku pada Sabtu lalu sebelum tular sejak semalam.

“Semalam kami mengesan satu video tular di Facebook yang berdurasi 0.54 saat mengenai perbuatan membakar mercun di atas jalan raya di Kuala Sawah.

“Siasatan pihak polis mendapati satu laporan polis diterima dan kes disiasat mengikut Seksyen 7(a) Akta Bahan Letupan 1957,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, perbuatan itu membabitkan tindakan sengaja menyebabkan letupan atau menyimpan bahan letupan dengan niat menyebabkan bahaya kepada nyawa dan harta benda.

“Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya.

Justeru, Mohd Rosli berkata, pihaknya kini sedang mengesan individu yang kelihatan sedang membakar mercun di dalam rakaman video tular berkenaan.

“Sehubungan dengan itu, pihak polis ingin menyeru kepada orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini supaya berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Asma Zafira Mohd Yusop di talian 013-2386281 atau 06-6033222 untuk membantu siasatan,” katanya.

Loading...
Terkini