comscore
Tumpuan :
Jenayah

Warga emas maut ditikam, dua beradik ditahan

Lelaki warga emas ditemui mati dengan kesan tikaman di sebuah rumah dekat Kampung Pasir, Rantau, di sini, pagi tadi. – FOTO: Ihsan Polis

SEREMBAN: Seorang lelaki warga emas ditemui maut dengan kesan tikaman pada bahagian badan dan kaki di sebuah rumah dekat Kampung Pasir, Rantau, di sini, pagi tadi.

Susulan kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, dua lelaki yang juga adik-beradik ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 10.10 pagi memaklumkan seorang lelaki tidak sedarkan diri di rumah berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa seorang lelaki berumur 74 tahun, tidak bekerja dan disahkan sudah meninggal dunia ketika ditemui di rumah itu.

“Pemeriksaan pada badan warga emas itu menemui kesan tikaman di bahagian belakang badan dan kedua-dua belah buku lalinya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dua suspek lelaki masing-masing berusia 18 dan 25 tahun ditahan untuk siasatan lanjut, namun motif kejadian masih dalam siasatan.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini, untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Seorang suspek itu ditahan kira-kira jam 5 petang tadi berhampiran kawasan kejadian dan seorang lagi dipanggil ke Balai Polis Rantau untuk siasatan. Kedua-duanya adalah adik-beradik,” katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis meminta kerjasama sesiapa yang mempunyai maklumat kejadian ini untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban, Asisten Superintendan Mohd Firdaus Sudeerman di talian 010-3921373,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini