comscore
Tumpuan :
Nasional

Wanita terperangkap di kandang lembu akibat banjir diselamatkan

 

Anggota bomba menyelamatkan mangsa yang terperangkap di kandang lembu akibat banjir di Kampung Air Kuning, Jalan Linggi, Rantau. FOTO: Ihsan Bomba

PORT DICKSON: Pasukan bomba membantu menyelamatkan seorang wanita yang terperangkap di kandang lembu ternakannya akibat banjir di Kampung Air Kuning, Jalan Linggi, Rantau, petang tadi.

Komander Operasi Bomba dan Penyelamat Rantau, PBK I Mohd Syazwan Saidy, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.02 petang daripada anak lelaki wanita itu, R Sehtu yang memaklumkan ibunya, G Santhi, 58, terperangkap dalam kandang lembu di sebuah kebun akibat air naik mendadak.

“Sebaik sampai di lokasi, mangsa ketika itu sedang berdiri di atas kerusi di kandang lembu sambil memeluk tiang kandang dalam keadaan kesejukan,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya, mangsa memberitahu dia terpaksa ke kandang lembunya kerana bimbang keadaan ternakannya itu berikutan, hujan berterusan sejak jam 1.30 petang.

“Hujan lebat menyebabkan air naik terlalu cepat sehingga paras lima meter dan menyebabkan mangsa terperangkap.

“Wanita itu bagaimanapun, sempat menghubungi anak lelakinya untuk mendapatkan bantuan.

“Untuk tindakan, anggota bomba terpaksa mencari laluan alternatif akibat jambatan runtuh serta menyeberangi sungai dan mangsa berjaya diselamatkan,” katanya.

Operasi menyelamat ditamatkan jam 5.30 petang.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini