comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Wanita maut rempuh belakang lori kontena di RnR Senawang

Foto Ihsan Pembaca

SEREMBAN: Wanita maut apabila kereta dipandunya melanggar belakang lori kontena di Kilometer 249.9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), arah selatan berhampiran susur masuk Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Senawang, di sini kelmarin.

Video kemalangan dari kamera papan pemuka kereta jenis Perodua Ativa itu tular di media sosial hari ini.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi itu, wanita berusia 30 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta Perodua Ativa dipandu mangsa sedang bergerak dari arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke arah Melaka seorang diri.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan mangsa itu disyaki hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang lori kontena jenis Volvo dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun,” katanya, di sini, hari ini.

Mohd Rosli berkata, ketika itu lori kontena terbabit sedang berhenti di sebelah kanan susur RnR Senawang sementara menunggu giliran tempat meletak kenderaan berat yang masih penuh dengan kenderaan.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk proses bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Tambahnya, mana-mana saksi yang melihat atau mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhamad Alif di talian 018-2029479 atau Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban 06-6033222 bagi membantu siasatan.

Loading...
Terkini