comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis Johor sahkan ancaman bom di pusat beli-belah, palsu

JOHOR BAHRU: Polis Kontinjen Johor mengesahkan panggilan telefon daripada seorang lelaki dipercayai warga asing yang mendakwa meletak bom di pusat membeli-belah dan hotel di sini, semalam adalah palsu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, sejurus menerima panggilan telefon daripada pengurusan pusat membeli-belah terbabit, sepasukan 92 pegawai kanan dan anggota termasuk dua unit anjing pengesan K9 telah digerakkan ke lokasi pada jam 6.15 petang.

Turut hadir di tempat kejadian, sepasukan 23 pegawai dan anggota bomba.

Hasil pemeriksaan oleh unit pemusnah bom dan anjing pengesan K9 hingga jam 11.30 malam, tiada sebarang objek yang mencurigakan telah dikesan.

Kawasan dilaporkan selamat dan beroperasi seperti sedia kala.

Walau bagaimanapun, pihak polis terus berada di lokasi kejadian bagi menjalankan pemerhatian lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Jika disabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Polis juga menasihatkan orang ramai agar bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran dan mengganggu gugat ketenteraman awam.

Semalam, kira-kira sembilan ribu pengunjung dan pekerja sebuah pusat membeli-belah dan hotel terkenal di Johor Bahru bergegas keluar bangunan selepas dimaklumkan tentang kejadian.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini