comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis lumpuhkan sindiket ekspolitasi warga asing OKU

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar. – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Polis berjaya melumpuhkan  sindiket pemerdagangan manusia yang mengekspolitasi warga asing berstatus Orang Kurang Upaya (OKU), dengan penahanan  tiga ahli termasuk seorang wanita.

Sindiket terbabit yang dipercayai beroperasi sejak dua bulan lalu dipercayai meraih kutipan wang hasil mengemis di pasar malam, medan selera dan restoran di sekitar bandaraya ini boleh mencecah RM8,000 sebulan

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan itu di beberapa lokasi berasingan sekitar bandar raya ini, jam 8.30 hingga 10.30 malam, pada 13 Jun lalu

“Hasil serbuan yang dijalankan telah berjaya menahan seorang lelaki dan wanita tempatan berusia 42 dan 53 tahun yang berperanan sebagai ‘transporter’ pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi pengemis.

“Dalam serbuan yang sama polis turut menyelamatkan dua lelaki warga asing status OKU berusia 44 dan 50 tahun yang menjadi mangsa pemerdagangan orang bagi tujuan eksploitasi pengemis oleh sindiket.

“Turut dirampas tiga telefon bimbit pelbagai jenama, tiga kereta jenama Nissan dan Toyota, satu pembesar suara dan mikrofon serta wang tunai bercampur-campur berjumlah RM1,859,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Menurut Kumar, dalam serbuan susulan di sebuah pangsapuri di bandar raya ini pada jam 11.45 malam, 19 Jun lalu, Polis menahan seorang lelaki tempatan, 42 tahun yang berperanan sebagai penjaga atau pengurus kepada dua pengemis warga asing itu.

Katanya modus operandi sindiket berkenaan ialah menawarkan kerja sebagai pengemis di sekitar bandar raya ini kepada mangsa-mangsa yang terdiri daripada warga asing.

“Ahli sindiket akan ke negara sumber dan merekrut individu OKU yang ditawarkan bekerja sebagai pengemis. “Sindiket ini akan menguruskan proses dokumen termasuk pasport dan dibawa ke negara ini. Setiba di sini akan dijemput di Lapangan Terbang dan seterusnya diletakkan di rumah sewa.

‘Transporter’ bertindak menghantar dan ambil ke lokasi setiap hari.”Wang hasil mengemis berjumlah RM250 hingga RM300 sehari harus diserahkan kepada penjaga yang membuat kutipan secara mingguan.

“Mangsa disyaratkan membayar RM800 seminggu untuk urusan pasport dan dikehendaki bekerja selama enam jam sehari.

Selain itu mangsa juga dikehendaki membayar RM10 satu jam kepada ‘transporter’ yang menghantar mereka ke lokasi pengemis,”katanya.

Jelas Kumar, penjaga atau pengurus tersebut didakwa di Mahkamah Seksyen di sini hari ini bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migrant 2007 [Akta 670].

“Pihak polis masih memburu dua lagi suspek dan waran tangkap sudah dikeluarkan.”Dua mangsa berkenaan ditempatkan di rumah perlindungan untuk sementara,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini