comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK KKB: PN pertaruh Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor

 

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama calon PN N06 DUN Kuala Kubu Bharu, Khairul Azhari Saut (kanan).- Foto: NSTP

KUALA KUBU BHARU: Perikatan Nasional (PN) menamakan pemangku Ketua Bersatu Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut sebagai calon mewakili gabungan itu pada pilihan raya kecil (PRK) dewan undangan negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Pengumuman mengenainya dibuat oleh Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bilik Gerakan Utama gabungan politik berkenaan di Batang Kali di sini malam ini.

Muhyiddin berkata pemilihan Khairul Azhari, 54, sebagai calon diputuskan sebulat suara pada Mesyuarat Tertinggi PN.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin (lima kiri) menyampaikan watikah pencalon kepada calon PN N06 DUN Kuala Kubu Bharu, Khairul Azhari Saut.- Foto: NSTP

“Beliau sudah lama terlibat dalam politik, anak tempatan dan ada pengalaman pegang jawatan seperti Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor dan Naib Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor, jadi kita pimpinan kira ini adalah langkah wajar,” katanya.

Mengikut biodata yang diedarkan kepada media, Khairul Azhari berasal dari Felda Sungai Tengi di sini.

Beliau merupakan penuntut Universiti Malaysia dalam bidang Diploma Eksekutif Pengurusan pada 2019 sebelum melanjutkan pengajian di bidang Master Eksekutif Pengurusan Perniagaan di Universiti Malaysia Pahang pada 2021.

Khairul Azhari kini bertugas sebagai Pengurus Besar Global Valley Venture Sendirian Berhad.

Semalam, DAP mengumumkan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao, 31, sebagai calon Kerajaan Perpaduan untuk PRK DUN Kuala Kubu Bharu.

PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Kee Hiong daripada DAP pada 21 Mac lalu akibat barah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon ialah pada Sabtu ini, diikuti hari pengundian pada 11 Mei.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini