comscore
Tumpuan :
Nasional

Projek ECRL kini sudah 40.81 peratus, siap ikut jadual 2026

Datuk Ahmad Yakob (dua kiri) menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak (dua kanan) menyampaikan sumbangan replika cek kepada Mudir Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Dhuafa Lilbainin Sri Peraksi Mohd Noor Abd Samad (kanan) pada Majlis Iftar Bersama ECRL di sini hari ini. – FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) membabitkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor kini mencapai kemajuan 40.81 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif  Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak, berkata berdasarkan kemajuan itu, projek berkenaan dijangka siap mengikut jadual ditetapkan iaitu akhir 2026.

“Bagi kerja-kerja infrastruktur untuk pembinaan jajaran ECRL di Kelantan pula berjalan dengan lancar dan mencapai kemajuan sekitar 51.94 peratus setakat ini.

“Kerja-kerja sedang giat dijalankan antaranya merangkumi pemasangan rasuk jejambat (beam launching) yang bermula dari jambatan di Jerus, Pasir Puteh dan kini menghampiri kawasan Padang Raja, Melor.

“Kerja-kerja penambakan tanah yang meliputi 16 daripada 19 lokasi keseluruhan di Kelantan sudah pun bermula, manakala proses rawatan tanah dan penanaman cerucuk bagi Stesen ECRL di Tunjong, Kota Bharu serta Stesen ECRL Pasir Puteh di Kampung Jeram juga sedang giat dijalankan,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar bersama ECRL di sini, malam tadi.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Terdahulu, MRL menyantuni seramai 30 anak yatim dari Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Dhuafa’ Lilbanin Sri Peraksi’ di Cherang Ruku, Pasir Puteh bagi mengukuhkan lagi ikatan ukhuwah di bulan Ramadan ini.

Loading...
Terkini