comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Proses evakuasi & SAR di Everest dijangka amat sukar

PETALING JAYA: Sebarang proses evakuasi mayat dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di gunung Everest dijangka berdepan pelbagai cabaran dan amat sukar termasuk faktor cuaca yang tidak menentu.

Pendaki Everest Negara, Muhammad Illaham Ishak berkata, usaha membawa turun mayat pendaki hanya boleh dilaksanakan dengan mengunakan helikopter terutama di kem 2 dan 3.

Muhammad Illaham, yang juga Presiden Kelab Jelajah Alpine Malaysia (ACM) pernah menyertai misi pendakian Everest dari bahagian Tibet pada tahun 2011 dan dari bahagian Nepal pada tahun 2013, turut menjangkakan proses membawa turun mayat dari paras ketinggian lebih 8,500 meter hanya boleh dilakukan secara manual dari kem 4 ke kem 3.

Barisan pendaki ME 2023 termasuk Allahyarham Awang Askandar (empat dari kiri) & Muhammad Hawari Hashim (enam dari kiri) yang hilang.

Usaha membawa turun mangsa ke kem 3 yang mengambil masa 12 jam perjalanan yang sukar, kerana laluan yang berliku dan menegak terutama kawasan dikenali dengan nama “The Yellow Band”.

Katanya, sebaik tiba di kem 3 yang terletak 7,162 meter dari paras laut, mangsa boleh diselamatkan dengan menggunakan helikopter namun ia perlu menggunakan teknik mangsa diangkat menggunakan tali kerana pesawat tidak boleh mendarat.

“Bukan semua helikopter boleh terbang ke kem 3, hanya juruterbang yang berpengalaman saja boleh mengendalikan pesawat di paras ketinggian berkenaan, biasanya helikopter hanya boleh terbang dan mendarat di kem 2 (6,400m), itupun hanya dengan seorang jurutebang sahaja tanpa penumpang lain, manakala kerusi bahagian belakang perlu ditanggalkan untuk meringankan beban pesawat sebab udara amat nipis,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Pendaki Everest Negara, Muhammad Illaham Ishak

Menurut Muhammad Illaham, beliau pernah menyaksikan operasi menyelamat seperti itu pada tahun 2013, membabitkan sorang pendaki warga negara Korea Selatan yang meninggal dunia di Gunung Everest.

Katanya, sebaik helikopter berjaya dalam operasi berkenaan, mayat mangsa kemudiannya akan dibawa ke Kem Induk Everest (EBC) sebelum diterbangkan ke Lapangan Terbang Lukhla, sebelum ke Kahtmandu untuk dibawa ke hospital.

Muhammad Illaham berharap operasi SAR pendaki negara akan berjaya dan dapat dilaksanakan dengan lancar.

Semalam, seorang pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023) yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Lt. Kol (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub 56, dilaporkan meninggal dunia ketika hampir menawan gunung berketinggian 8,848m dari aras laut itu

Awang Askandar dilaporkan rebah pada ketinggian 8,000m sebelum disahkan meninggal dunia.

Mengikut laporan media tempatan Nepal, Allahyarham adalah warga asing ke sembilan meninggal dunia bagi musim pendakian tahun ini.

Kem ME 2023 sekali lagi menerima berita duka, apabila seorang pendaki Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim, 33, yang berjaya menawan puncak Everest kelmarin pula dilaporkan hilang semalam.

Loading...
Terkini