comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU15: Kurang 24 jam di Tik Tok, baju bendera parti raih jutaan tontonan

Muhd Zulwafi menunjukkan antara rekaan baju menggunakan bendera parti yang bertanding pada PRU-15 ketika ditemui di rumahnya di Bukit Panau, Tanah Merah, semalam. – Foto NSTP/Syaherah Mustafa

TANAH MERAH: Seorang tukang jahit menggunakan kreativitinya mencipta baju daripada bendera pelbagai parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sehingga mendapat lebih satu juta tontonan di TikTok.

Muhd Zulwafi Ahmad Rosli, 27, yang juga pemegang Diploma Seni Lukis dan Seni Reka Fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak, mengakui tidak menyangka video baju hasil kerjanya itu mendapat perhatian jutaan penonton dalam masa kurang 24 jam selepas dimuat naik.

Katanya, beliau sekadar suka-suka untuk turut sama ‘memeriahkan’ suasana berkempen melalui laman sosial selain menggunakan bakat yang ada mencipta baju dengan pelbagai rekaan berbeza menggunakan bendera parti.

“Terdapat banyak komen positif, begitu juga yang negatif selepas hasil tangan saya ini dipertontonkan di TikTok. Tetapi saya tidak ambil hati kerana niat saya sendiri sekadar untuk memeriahkan tempoh berkempen selain tidak memihak kepada mana-mana parti.

“Bila dah siap baju dengan bendera BN contohnya, ada pula penyokong mahukan rekaan menggunakan bendera PAS, kemudian datang pula idea mahukan bendera Pakatan Harapan (PH) dan lain-lain lagi.

“Dalam masa sama, apa yang saya lakukan ini boleh menghilangkan tekanan bekerja selepas hasil tangan saya mendapat pujian, malah ada yang mahu menempah baju mengikut rekaan yang saya jahit itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Panau, di sini, semalam.

Mohd Zulwafi yang juga pengundi di Parlimen Tanah Merah, berkata bendera yang digunakan adalah ihsan daripada penyokong parti yang berminat dengan usahanya untuk memeriahkan tempoh berkempen itu.

“Sebenarnya idea timbul selepas saya melihat ramai yang menggunakan kreativiti menghasilkan pelbagai rekaan seperti kereta berhias, wau gergasi serta replika helikopter menggunakan lambang parti.

“Oleh itu, saya berfikir untuk turut menggunakan kemahiran yang ada iaitu menjahit dengan mencipta baju pelbagai rekaan menggunakan bendera parti.

“Proses menjahit tidaklah begitu rumit kerana baju dibuat sekadar untuk pandangan mata netizen bukanlah beriya-iya untuk dipakai, namun jika ada yang berminat untuk membuat tempahan saya terima sahaja dengan jahitan yang lebih kemas dan bersesuaian,” katanya.

Muhd Zulwafi antara tukang jahit lelaki yang berkemahiran menghasilkan baju dengan pelbagai tema majlis serta pakaian pengantin dan mempunyai harapan tinggi untuk menjadi pereka fesyen terkenal suatu hari nanti. – BERITA HARIAN

 

Loading...
Terkini