comscore
Tumpuan :
Nasional

Punca kemalangan tujuh maut di laluan Genting Highlands dalam siasatan MIROS

Tujuh maut dalam kemalangan sebuah van di Kilometer 4.8 di laluan turun Genting Highlands-Kuala Lumpur, dekat sini petang semalam. – Foto ihsan Bomba

KUALA LUMPUR: Punca sebenar kemalangan maut yang mengorbankan tujuh nyawa di Kilometer 4.8 di laluan turun Genting Highlands-Kuala Lumpur semalam, sedang dikenal pasti Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Menurut Jurucakap MIROS, pihaknya sudah menghantar sepasukan penyiasat ke lokasi kejadian untuk membuat siasatan terperinci.

“Setakat ini punca kemalangan masih belum diketahui dan MIROS sedang menjalankan siasatan itu,” katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Semalam, tujuh penumpang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah van persiaran di Kilometer 4.8 di laluan turun Genting Highlands-Kuala Lumpur.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf ketika dihubungi, memaklumkan dua daripada yang meninggal dunia adalah lelaki terdiri daripada pemandu dan kelindan van.

“Lima lagi yang meninggal dunia adalah wanita dan mereka adalah penumpang van persiaran berkenaan.

“Enam mangsa termasuk pemandu, meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa iaitu kelindan van meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam kenyataan hari ini pula berkata, semakan awal mendapati bahawa van itu dilesenkan di bawah kelas lesen bas persiaran.

Katanya, APAD memandang serius isu membabitkan keselamatan orang ramai susulan insiden kemalangan terbabit.

“APAD akan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mendapatkan Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA), dan turut memanjangkan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk tindakan penguatkuasaan yang berkaitan.

“Pada masa sama, APAD juga akan memohon kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk menjalankan siasatan secara terperinci dan menganalisis punca nahas jalan raya yang menyebabkan kematian ini,” katanya.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini