comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] PUSPAKOM tawar pemeriksaan kenderaan percuma

 

KUALA LUMPUR: Orang ramai boleh memanfaat pemeriksaan kenderaan sukarela secara percuma yang ditawarkan PUSPAKOM sempena sambutan perayaan Aidilfitri, mulai esok hingga 20 April ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohammed Shukor Ismail, berkata pelaksanaan inisiatif itu bertujuan memastikan keselamatan jalan raya sepanjang musim perayaan, terutama bagi golongan yang akan memandu pulang ke kampung masing-masing.

Beliau berkata, inisiatif #drivesafenoregrets itu ditawarkan kepada semua pemandu dan pemilik kenderaan persendirian bagi memastikan kenderaan berada pada tahap terbaik sebelum memulakan perjalanan.

Katanya, pemilik kenderaan yang mahu mendapatkan pemeriksaan percuma itu perlu hadir secara ‘walk-in’ ke mana-mana cawangan PUSPAKOM di seluruh negara, kecuali cawangan Shah Alam, Taman Bukit Maluri dan Pasir Gudang, dari jam 8 pagi hingga jam 5 petang.

“Kempen ini bertujuan membantu pemilik kenderaan mengetahui keadaan kenderaan melalui pemeriksaan menggunakan peralatan berkomputer PUSPAKOM, seterusnya boleh digunakan sebagai rujukan untuk melakukan penyelenggaraan sewajarnya.

“Pelanggan yang menjalani pemeriksaan sukarela akan menikmati layanan VIP (istimewa) dan mereka boleh hadir terus ke PUSPAKOM tanpa perlu janji temu, selain turut diberi keutamaan.

“PUSPAKOM menjadikan kempen pemeriksaan kenderaan percuma ini sebagai tanggungjawab korporat syarikat dalam meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan keselamatan kenderaan, terutama ketika musim perayaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohammed Shukor berkata, inisiatif itu akan tertumpu kepada aspek keselamatan iaitu pemeriksaan brek, gelincir sisi, tayar, ‘suspension’, asap, lampu, bahagian bawah dan atas kenderaan, cermin gelap serta banyak lagi.

“Demi merancakkan lagi kempen ini, PUSPAKOM turut menganjurkan peraduan mudah kepada pelanggan di samping mengerah Unit Pemeriksaan Bergerak untuk menawarkan pemeriksaan percuma di beberapa lokasi terpilih.

“Lokasi berkenaan ialah, Wisma DRB-HICOM dan MMU Cyberjaya (kakitangan sahaja), mulai jam 9 pagi hingga 4 petang, pada 11 April ini, diikuti di Setia Alam Impian, pada 15 April dan Lotus’s Ara Damansara, pada 19 April ini,” katanya.

“Untuk maklumat lanjut mengenai Pemeriksaan Kenderaan Sukarela Secara Percuma ini dan cara memenangi hadiah, sila layari www.puspakom.com.my atau Facebook PUSPAKOM Sdn Bhd,” katanya.

Loading...
Terkini