comscore
Tumpuan :
Nasional

Rafizi pesan tiada perhimpunan, hati-hati keluar kenyataan

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menasihatkan rakyat Malaysia dan penyokong Pakatan Harapan (PH) agar tidak mengadakan sebarang perhimpunan untuk mengelak risiko provokasi selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim diumumkan sebagai Perdana Menteri ke-10.

“Saya menyeru supaya semua rakyat Malaysia, terutamanya penyokong dan anggota PKR, PH dan rakan-rakan politik menghormati keperluan mendesak untuk meredakan keadaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga meminta penyokong dan anggota PKR agar berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan media termasuklah membabitkan tokoh-tokoh politik.

“Kita semua perlu bergerak ke hadapan dan belajar bekerjasama untuk membina kembali Malaysia, demi masa depan dan kemakmuran setiap rakyat dari semua kumpulan, kaum, negeri dan latar belakang,” katanya.

Ujarnya bagi pihak PKR dan rakan-rakan dalam PH, beliau menyembah takzim kepada Yang di-Pertuan Agong atas titah perkenan melantik Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri dalam sebuah kerajaan perpaduan.

“Seperti mana pimpinan KEADILAN dan PH tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan sepanjang usaha membentuk Kerajaan Perpaduan berlangsung (sejak keputusan PRU-15 dimuktamadkan), saya menyeru supaya semua rakyat Malaysia, terutama penyokong dan anggota KEADILAN, PH dan rakan-rakan politik menghormati keperluan mendesak untuk meredakan keadaan,” katanya.

Loading...
Terkini