comscore
Tumpuan :
Nasional

Rakyat Malaysia dari luar negara wajib jalani pemeriksaan dan kuarantin

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Wisma Putra tetap dengan pendirian semua rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air dari luar negara wajib menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela selama dua minggu.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata arahan itu selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula semalam.

“Wisma Putra tetap berpendirian bahawa semua rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air dari luar negara wajib menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (atau self quarantine) selama 14 hari; selaras dengan #PerintahKawalanPergerakan negara,” katanya dalam ciapan di Twitternya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan berhubung perhimpunan jemaah tabligh, ‘Ijtima of Asia 2020’ di Sulawesi, Indonesia yang ditangguhkan.

Sejumlah 83 rakyat Malaysia dilaporkan sudah berada di Sulawesi untuk menyertai acara itu, yang turut dihadiri jemaah tabligh dari 48 negara lain.

“Ramai mesej saya tentang perhimpunan tabligh di Indonesia semalam kerana risau ia merebakkan COVID-19, khususnya kepada rakyat Malaysia yang hadir. Lega apabila pihak berkuasa dan penganjur telah putuskan untuk tangguhkan perhimpunan di Gowa tersebut,” katanya.

Perhimpunan jemaah tabligh di Sulawesi, Indonesia ditangguhkan berikutan kebimbangan penularan jangkitan wabak COVID-19.

Pihak berkuasa tempatan dan penganjur mencapai kata putus untuk menangguhkan acara yang dijadual berlangsung di Gowa berhampiran bandar Makassar selepas acara sama di Malaysia mengakibatkan ratusan kes jangkitan COVID-19.

Pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu, dilaporkan lebih 10,000 orang menghadiri perhimpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur yang kemudian ada antara pesertanya didapati positif COVID-19 dan telah menyumbang kepada peningkatan dan kluster terbesar kes virus itu di Malaysia.

Loading...
Terkini