comscore
Tumpuan :
Nasional

Rangka orang Islam diurus seperti jenazah biasa – EXCO agama

BATU PAHAT: Rangka manusia yang ditemukan tidak sempurna perlu diuruskan sebagaimana jenazah biasa, jika disahkan ia milik individu beragama Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata rangka itu perlu disempurnakan seperti jenazah yang lengkap iaitu dimandi, dikafankan hinggalah dikebumikan.

Mohd Fared berkata, penyempurnaannya perlu diuruskan dan dikebumikan hingga setakat termampu, iaitu boleh disatukan walaupun tidak lengkap seperti mayat yang sebenar.

“Kita telah maklum berkenaan penemuan rangka manusia di Tongkang Pechah baru-baru ini.

“Sekiranya rangka itu milik individu beragama Islam, ia perlu disempurnakan macam uruskan mayat yang sebetulnya,” katanya ketika diminta mengulas berkenaan penemuan rangka manusia tersebut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Memorandum Persefahaman di antara Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Perbadanan Islam Johor di UTHM, di sini hari ini.

Pada Jumaat lalu, polis menemukan rangka manusia tidak lengkap di Lorong Imam Jailani, Batu 7, Tongkang Pechah, di sini, selepas dipandu arah oleh seorang daripada suspek utama kes kehilangan ibu tunggal, Mira Sharmila Samsusah, 32, atau dikenali sebagai Bella.

Pada 14 Disember lalu, Bella dilaporkan keluar rumah menaiki kereta teman lelakinya pada 11.50 malam dengan hanya memakai baju kelawar berwarna biru gelap untuk mencuci pakaian di kedai dobi berhampiran dan gagal dihubungi sejak itu. – BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini