comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] “Saya harap rangka itu bukan Bella” – Kakak

Norhisham Samsusah, 36, berharap rangka manusia yang ditemui di dalam rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, dekat sini, petang tadi bukan adiknya, Bella – Foto: NSTP

BATU PAHAT: “Saya harap rangka itu bukan Bella,” itu luahan Norhisham Samsusah, 36, susulan penemuan rangka bersama pakaian di dalam rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, dekat sini, petang tadi.

Norhisham adalah kakak kepada Mila Sharmila atau lebih dikenali sebagai Bella, 32, yang hilang sejak 14 Disember lalu, namun sehingga kini belum ditemui.

Dia ditemani ibunya, Noraini Salleh, 55, serta beberapa ahli keluarga lain tiba di lokasi pada jam 8 malam untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penemuan rangka itu.

Katanya, hatinya agak berat untuk menidakkan penemuan rangka itu memandangkan suspek yang menunjukkan lokasi adalah individu paling dekat dengan Bella.

“Kalau boleh itu (rangka) bukan Bella, saya harap sangat Allah makbul doa kami,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Noraini berkata, seandainya rangka itu milik anaknya, dia reda walaupun terlalu berat untuk menerima kenyataan.

Namun, katanya, mereka terbabit dalam kes ini perlu mendapat hukuman setimpal demi keadilan untuk keluarganya.

“Saya boleh maafkan pelaku tapi dia tidak boleh terlepas hukuman. Kami harap jika benar rangka itu milik Bella, kami perlu mendapat keadilan sewajarnya,” katanya.

Petang tadi, polis menemui rangka dalam keadaan tidak sempurna di rumah sewa terbiar susulan penahanan seorang suspek utama.

Difahamkan, lelaki itu ditahan dipercayai individu paling rapat dengan Bella, sekali gus dipandu ke lokasi penemuan rangka.

Lelaki itu adalah suspek utama sepanjang kehilangan Bella yang memasuki hari ke-36, hari ini.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini