comscore
Tumpuan :
Nasional

Sanusi beri keterangan kepada SPRM

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini sekali lagi menjadi tumpuan media hari ini susulan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tampil memberi keterangan berhubung isu rasuah lebih RM6 juta melibatkan persatuan bola sepak negeri.

Kira-kira 11 pengamal media dari pelbagai agensi mula berkampung sejak jam 9 pagi setelah mendapat makluman kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu.

Kenderaan jenis Mercedes Benz berwarna kelabu dengan nombor plat KBV8 yang membawa Muhammad Sanusi dilihat memasuki bangunan itu kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

Ketika ini, proses mengambil keterangan beliau masih berjalan.

Semalam, media melaporkan, SPRM akan memanggil Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu dalam masa terdekat untuk membantu siasatan kes tersebut.

Sumber mendedahkan, siasatan membabitkan kes rasuah terbabit dijalankan SPRM selepas menerima laporan daripada kontraktor yang sebelum ini dijanjikan mendapat projek di negeri berkenaan jika menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak.

Pada 7 Januari lalu, Muhammad Sanusi mendakwa, wang RM6 juta yang dikaitkan dalam isu rasuah Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) adalah sumbangan sebuah syarikat.

Beliau yang juga Presiden KFA berkata, syarikat terbabit mempunyai konsesi projek loji rawatan air di negeri ini dan berharap konsesi itu akan disambung.

Bagaimanapun, menurutnya, kerajaan negeri tidak menyambung konsensi syarikat itu dan syarikat terbabit kemudian meminta wang sumbangan RM6 juta itu dipulangkan semula.

Terdahulu, media melaporkan, SPRM menahan reman empat individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KFA masing-masing berusia 40 hingga 60 tahun bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah RM6 juta.

Wang itu dipercayai sebagai balasan bagi membantu seorang pemilik syarikat mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji rawatan air di Kedah.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini