comscore
Tumpuan :
Nasional

Rider mahu kadar asas upah perkhidmatan dikembalikan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kerajaan digesa segera campur tangan bagi mengembalikan semula kadar asas upah perkhidmatan sebuah syarikat penghantar makanan yang didakwa menjejaskan pendapatan pekerja p-hailing sehingga RM1,000 sebulan.

Wakil pekerja p-hailing syarikat terbabit, Mohd Adie Ali Nafiah mendakwa beliau dan rakan sekerja lain tidak pernah diajak berbincang berhubung tindakan syarikat itu menurunkan kadar asas upah terbabit berkuat kuasa bulan lalu.

“Sistem kadar lantai telah dikacau, kami susah nak dapat makan dan tidak berpuas hati, kami minta syarikat ubah ke sistem sebelum ini tapi tiada perubahan. Kami minta kerajaan sama ada mereka boleh sediakan pelan jangka panjang yang adil untuk masalah ini.”

“Harga lantai dulu RM5, sekarang jatuh RM4 ke bawah setiap tempahan tidak termasuk dua atau tiga tempahan dan juga ‘pick up’ yang jauh,” katanya yang ditemui selepas menyerahkan memorandum kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pengangkutan (MOT), Dr Nor Fuad Abdul Hamid di pekarangan bangunan MOT, di sini hari ini.

Kira-kira 50 pekerja p-hailing turut serta dalam penyerahan memorandum itu.

Seorang lagi wakil pekerja, Mohd Azad Mohd Hussin dari Perak mendakwa dia boleh memperoleh pendapatan sebanyak RM100 sehari dari pagi hingga petang sebelum ini.

Bagaimanapun, dakwanya, pelaksanaan kadar baharu itu menyebabkan pendapatannya tidak mencecah jumlah tersebut meskipun bekerja dari pagi hingga malam.

“Jarak penghantaran pun (didakwa) syarikat menipu kami. Dulu 1 kilometer (km) RM1. Sekarang lebih 10km cuma bayar RM5 ke RM6. Apa kami tidak berpuas hati, kami tidak boleh melawan syarikat ini, cuma kami boleh bergantung harap dengan kerajaan untuk membantu dan mengambil tahu apa yang berlaku terutama kami yang telah berusia dan mempunyai tanggungan besar,” katanya.

Dalam memorandum itu, wakil pekerja juga menuntut syarikat mengekalkan ‘pick-up bonus’ sebanyak 60 sen dan upah ‘double order’ atau ‘triple order’ dikira dari jarak restoran.

Selain itu, mereka menuntut syarikat menambah baik pemulangan bayaran pembatalan pesanan yang melibatkan pesanan tunai kerana tempoh pemulangan ketika ini didakwa mengambil masa terlalu lama.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor yang turut hadir, merayu kerajaan memberi perhatian kerana tuntutan yang dikemukakan pekerja p-hailing sebelum ini masih tiada jalan penyelesaian.

“Berikan mereka sinar, saya tidak fikir penghantar makanan meminta bulan dan bintang, bukan hendak jadi kaya, tetapi bekerja demi sesuap nasi untuk menyara keluarga,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dilapor berkata kerajaan masih mengambil pendirian berkecuali dalam menentukan kadar upah yang diberi syarikat e-hailing atau p-hailing kepada kumpulan penghantarnya.

Menyedari kadar upah kepada penghantar sering menjadi isu dihadapi industri gig berkenaan, jelasnya, buat masa ini, fokus kerajaan lebih kepada memastikan penghantar itu diberi perlindungan sosial yang lebih baik.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini