comscore
Tumpuan :
Nasional

Risau kesihatan suami, wanita perjelas video viral tahan Proton Wira

Tangkap layar video tular aksi wanita menahan Proton Wira dipandu suami di persimpangan lampu isyarat Batu 1 Jalan Pantai Port Dickson.

PORT DICKSON: Wanita yang dirakam menghalang sebuah Proton Wira di persimpangan lampu isyarat di sini, baru-baru ini dikatakan bertindak demikian kerana risaukan kesihatan suami yang memandu kereta terbabit.

Perkara itu dimaklumkan sendiri wanita berkenaan, 32, yang tampil bersama suaminya yang berusia 58 tahun di Balai Polis Port Dickson hari ini, selepas video aksinya yang dirakam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, pasangan warga Indonesia itu tampil ke balai polis untuk memberikan penjelasan selepas menyedari mengenai video yang tular itu.

Mengulas lanjut, katanya, lelaki yang memandu Proton Wira terbabit dikatakan baru sahaja mendapat rawatan di Hospital Port Dickson akibat pelbagai penyakit dan isterinya sudah menasihati supaya tidak keluar dari rumah kerana risaukan akan kesihatannya.

Bagaimanapun, beliau berkata, lelaki terbabit tidak menghiraukan larangan itu dan tetap keluar dari rumah mereka di sini untuk ke rumah anak mereka di Teluk Kemang, dekat sini.

“Wanita berkenaan yang menyedari perkara itu terus membonceng motosikal ditunggang jiran sebelum mengesan suaminya di persimpangan lampu isyarat Batu 1 Jalan Pantai Port Dickson.

“Tanpa berlengah wanita terbabit menghalang kereta dipandu suaminya dan pada masa sama, aksinya itu dirakam sehingga video berkenaan tular di media sosial,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Sebelum ini, pihak polis meminta individu yang terbabit dalam video yang tular di Twitter itu tampil untuk memberikan penjelasan mengenai kejadian berkenaan.

Dalam pada itu, Muhamad Mustafah berkata, pasangan terbabit memohon maaf atas perbuatan dilakukan dan menyedari tindakan itu boleh membahayakan diri sendiri dan orang awam lain.

Loading...
Terkini