comscore
Tumpuan :
Tular

Polis saman pemandu kereta ubah laluan secara melulu di Jalan Kuala Kangsar

Foto hiasan

IPOH: Polis telah mengeluarkan notis saman kesalahan trafik kepada pemandu kereta yang dipercayai mengubah laluan secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan di sini, sebagaimana tular di laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan berkata pihaknya menerima laporan berhubung insiden yang berlaku di Jalan Kuala Kangsar itu daripada pemandu kereta terbabit yang berumur 44 tahun, malam tadi.

“Kemalangan ini disiasat di bawah Peraturan 6 (1) Kaedah-Kaedah Lalu lintas Jalan 1959 (LN166/59) iaitu memotong dengan cara berbahaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemandu kereta Proton Wira dalam perjalanan ke Chemor itu telah mengubah laluan dari lorong tengah ke lorong kiri jalan secara mengejut dan pada masa sama seorang penunggang motosikal yang datang dari arah belakang gagal mengelak serta melanggar bahagian kiri kereta terbabit.

Susulan itu, penunggang motosikal tersebut terbabas dan terjatuh sehingga mengalami kecederaan ringan di bahu kanan, lutut, kaki, muka dan tangan serta dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Rakaman video berdurasi 26 saat mengenai kejadian tersebut tular di laman Facebook sejak Jumaat lepas dan mendapat pelbagai reaksi netizen. – BERNAMA

Loading...
Terkini