comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] RM2.5 juta peruntukan untuk naik taraf, selenggara infrastruktur di Teluk Intan

 

TELUK INTAN: Sebanyak RM2.5 juta peruntukan diluluskan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada Majlis Perbandaran Teluk Intan bagi empat projek menaik taraf dan penyelenggaraan infrastruktur awam di Teluk Intan.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata penyaluran peruntukan ini bertujuan untuk meningkatkan tahap kebersihan, keselamatan dan keselesaan para peniaga dan pengunjung bagi merancakkan lagi ekonomi setempat.

Nga Kor Ming (tiga kanan) beramah-mesra dengan peniaga di Pasar Besar Teluk Intan, hari ini. – FOTO: NSTP

“Selain itu, kesemua fasiliti awam ini adalah tempat penyatuan komuniti dan mengeratkan silaturrahim antara penduduk dalam sesebuah masyarakat.

“Peruntukan naik taraf medan selera, pasar awam dan taman rekreasi ini ialah “performance-based budget” atau peruntukan berlandaskan pelaksanaan bagi memastikan perkhidmatan dan fokus KPKT terhadap kesejahteraan rakyat dapat terus dipertingkatkan,” katanya.

Jumlah peruntukan yang telah diluluskan KPKT meliputi projek menaik taraf dan penyelenggaraan membabitkan Medan Selera Glutton Square, Jalan Ah Cheong; Pusat Penjaja di Jalan Maharani; Pasar Besar Teluk Intan, Jalan Woo Saik Hong dan Taman Rekreasi Riverfront, Jalan Mahkamah.

Nga Kor Ming ditemui ketika mengadakan sesi lawatan ke Medan Selera Glutton Square, Pusat Penjaja di Jalan Maharani, Pasar Besar Teluk Intan dan Taman Rekreasi Riverfront, Teluk Intan bagi meninjau kemudahan asas dan keperluan berkaitan di medan selera, pasar awam dan taman rekreasi tersebut.

Loading...
Terkini