comscore
Tumpuan :
Nasional

Rodzi Md Saad dilantik KP MAMPU

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Rodzi Md Saad dilantik sebagai Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), JPM.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, pelantikan itu berkuat kuasa hari ini.

“Syabas dan tahniah atas pelantikan Rodzi sebagai Ketua Pengarah MAMPU berkuat kuasa pada 30 Mei 2023.

“Semoga pelantikan beliau sebagai Ketua Pengarah MAMPU akan memacu kecemerlangan MAMPU dalam menerajui pemodenan penyampaian perkhidmatan awam melalui inovasi dan pendigitalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rodzi, 59, berkelulusan Sarjana dalam bidang Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi dari Universiti Teknologi MARA dan Ijazah Sarjana Muda Demografi dan Kajian Kependudukan (Kepujian) dari Universiti Malaya.

Beliau berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam selama 33 tahun serta berpengalaman luas dalam pengurusan dan pentadbiran keselamatan negara meliputi pelbagai aspek termasuk sempadan, maritim serta keselamatan siber.

Sementara itu, MAMPU dalam satu kenyataan berasingan memaklumkan Rodzi dilantik sebagai Ketua Pengarah agensi berkenaan yang baharu menggantikan Datuk Seri Dr Yusof Ismail.

Sebelum ini, Rodzi telah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Keselamatan Negara sejak 15 Julai 2021.

“Pada masa sama, MAMPU turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Dr Yusof atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau kepada MAMPU,” kata kenyataan itu.

Loading...
Terkini