comscore
Tumpuan :
Nasional

Rombakan Kabinet: Pemotongan 20% gaji Menteri diteruskan – PM

Foto: NSTP

PUTRAJAYA : Pemotongan gaji sebanyak 20% akan diteruskan untuk barisan Kabinet baharu.

Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan, di sini, hari ini.

“Pemotongan gaji diteruskan melainkan Perdana Menteri tiada potongan sebab tiada gaji,” katanya.

Pada 5 Disember tahun lalu, kesemua menteri kabinet bersetuju untuk melakukan potongan gaji sebanyak 20% sebagai tanda keprihatinan terhadap rakyat.

Ia akan disemak semula selepas ekonomi negara kembali pulih.

Terdahulu, ketika mengumumkan rombakan Kabinet, Perdana Menteri menegaskan penyesuaian yang dilakukan seiring perkembangan semasa.

Katanya, ia berdasarkan prestasi lalu, tetapi perubahan dari segi perkembangan ekonomi, permasalahan rakyat termasuk kos sara hidup yang harus ditangani dengan baik.

“Penerimaan di peringkat antarabangsa yang memerlukan tugas di Kementerian Luar (penting), isu pendidikan, pendidikan tinggi, terutama dalam beberapa usaha kita meneroka bidang baharu.

“Ia seperti kecerdasan buatan (AI), transformasi digital.. yang menyebabkan saya memikir semula untuk membuat sedikit sebanyak penyesuaian (dalam Kabinet) dengan melihat kepada keadaan dan tuntutan semasa,” katanya.

Keputusan rombakan itu jelasnya, setelah berbincang dengan ketua parti komponen utama sebelum mempersembah senarai nama kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan diperkenan baginda.

Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh Menteri Persekutuan akan berlangsung pada jam 2.30 petang ini di Istana Negara.

Turut berlangsung adalah Istiadat Pengurniaan Surat Cara Perlantikan.

Loading...
Terkini