comscore
Tumpuan :
Nasional

Rosmah tarik balik rayuan supaya hakim tarik diri

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor menarik balik rayuan supaya Hakim Mohamed Zaini Mazlan, menarik diri daripada mendengar kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai dihadapinya di Mahkamah Tinggi.

Mohamed Zaini yang juga bekas Hakim Mahkamah Tinggi kini adalah Hakim Mahkamah Rayuan selepas dinaikkan pangkat.

Berdasarkan notis pemberhentian difailkan firma guaman, Tetuan Geethan Ram mewakili isteri kepada Datuk Seri Najib Razak itu pada 1 Mac lalu, Rosmah selaku perayu menarik balik rayuan difailkan melalui notis rayuan bertarikh 29 April 2022.

Sehubungan itu, rayuan itu disifatkan sudah ditolak mengikut peruntukan dalam Aturan 73 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994.

Prosiding rayuan itu sepatutnya didengar di Mahkamah Rayuan pada 17 Mac ini.

Pada November tahun lalu, Mahkamah Rayuan menangguhkan pendengaran rayuan berkenaan kerana mahu pihak pembelaan dan pendakwaan memfailkan hujahan lanjut sama ada mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu.

Rosmah, 72, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytihar pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perbuatan itu dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai dihadapi Rosmah ditetapkan selama 15 hari antara 12 Mei dan 8 September ini.

Pada 1 September 2022, Mohamed Zaini mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Hakim itu juga memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu, namun membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini