comscore
Tumpuan :
Nasional

Rumah dan kereta ditembak individu tidak dikenali

Foto hiasan

KOTA BHARU: Rumah dan kenderaan milik seorang penjawat awam di Kampung Guntong, Kok Lanas di sini, mengalami kerosakan selepas ditembak individu tidak dikenali.

Menurut polis, laporan berhubung kejadian diterima jam 11.59 malam tadi yang berlaku di sebuah rumah banglo setingkat yang dihuni mangsa yang berusia 30-an dan keluarganya.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, siasatan di tempat kejadian menemui beberapa kesan tembakan pada rumah dan kenderaan milik penghuni kediaman itu.

“Siasatan lanjut sedang dibuat termasuk mengesan suspek serta motif tembakan.”Kami memandang serius kes ini dan orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai suspek diminta tampil membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohd Rosdi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

Beliau berkata, jika disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau dikenakan denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

“Bagi Seksyen 307 KK pula, hukuman penjara selama tempoh sehingga 10 tahun boleh dikenakan serta denda.”Bagi yang ingin menyalurkan maklumat, boleh menghubungi Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Ismail di talian 019-2454224 atau 09-7752200 malah boleh tampil di mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Loading...
Terkini