comscore
Tumpuan :
Nasional

Rumah, kubur tenggelam akibat masalah perparitan

Foto: NSTP
Ahmad Samrin (baju biru) bersama keluarga dan jiran yang terkesan dengan banjir kilat di Parit 7 Sungai Pergam.

BAGAN DATUK: Sekurang-kurangnya lima keluarga di Parit 7 Sungai Pergam terkesan akibat banjir kilat yang melanda susulan hujan lebat berpanjangan sejak awal pagi tadi.

Menurut penduduk, Rapiah Chiyun, 76, itulah kali pertama kawasan rumahnya dinaiki air limpahan parit yang terletak betul-betul di hadapan rumahnya.

Foto: NSTP
Rapiah Chiyun, 76 yang tinggal berseorangan dan terbatas pergerakan turut terkesan dengan banjir kilat di Parit 7 Sungai Pergam.

Rapiah yang menghidap gaut sejak lima tahun lepas bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak dan tinggal berseorangan selepas kematian suaminya pada 2014.

Bercerita lanjut, dia berasa terkejut sebaik sahaja bangun jam 5 pagi tadi apabila melihat air memasuki kawasan dalam rumahnya.

“Terkejut sebab daripada saya kecil tinggal di sini, inilah kali pertama berlaku banjir sampai melimpah air dari parit. Sebelum ni belum pernah jadi.

“Mujurlah adik kandung saya yang tinggal bersebelahan datang membantu mengangkat barang-barang yang patut sebelum tenggelam. Anak dan menantu tinggal di Slim River pun balik siang tadi untuk bantu uruskan saya.

“Petang ni, air di kawasan beranda rumah ni masih lagi belum surut. Kalau malam ni hujan lebat lagi, entah bagaimana pula keadaannya esok,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini, petang tadi.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Samrin Siyun, 50, berkata kejadian itu turut dipercayai berpunca daripada parit yang sudah lama tidak diselenggara sehingga mengakibatkan saliran terganggu dan air yang bergenang lambat surut.

“Pukul 2 pagi tadi hujan lebat turun tak henti-henti sampailah saya terjaga dan dapati air sudah mula masuk ke dalam rumah ketika Subuh.

“Apabila buka pintu hadapan, memang terkejut lihat air daripada parit melimpah sehingga memenuhi kawasan sekeliling rumah.

“Kali terakhir pihak berkuasa mencuci parit ni lima tahun lepas. Boleh jadi banjir ini berlaku kerana parit di kawasan kami ini sudah lama tidak diperdalamkan semula,” kata bapa kepada lima orang anak itu.

Foto: NSTP
Tanah Perkuburan Islam Parit 1 Sungai Pergam yang ditengelami air setiap kali hujan lebat berterusan menyebabkan penduduk sekitar runsing.

Dia mendakwa, peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan parit di Parit 7 Sungai Pergam sebelum ini sudah digunakan untuk tujuan yang sama namun di kawasan lain.

Tinjauan ke lokasi berdekatan mendapati bukan rumah sahaja yang terkesan dengan masalah perparitan, malah Tanah Perkuburan Islam Parit 1 Sungai Pergam, di sini juga ditakungi air hujan sehingga paras betis.

Ahmad Samrin berkata, kejadian di tanah perkuburan itu sudah berlarutan sejak 10 tahun lalu dan paling membingungkan apabila ada kematian pada musim tengkujuh.

“Jika pakai mesin pengepam untuk sedut keluar air pun sukar kerana kawasan perkuburan ini luas dan prosesnya memakan masa yang lama,” katanya.

Loading...
Terkini