comscore
Tumpuan :
Nasional

Runtuhan gudang: 4 mangsa dipercayai “tertimbus” sebenarnya melarikan diri selepas kejadian

Oleh: Selwam Arjunan

BAYAN LEPAS: Empat pekerja binaan warga Bangladesh yang sebelum ini dikhuatiri tertimbus dalam kejadian runtuhan gudang dalam pembinaan, di sini, malam semalam didapati melarikan diri dari selepas insiden itu.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata mereka telah dikesan di sekitar kawasan ini kira-kira jam 4 petang.

“Kita telah jalankan operasi carilamat sejak kejadian pada jam 9.45 malam semalam sehingga jam 6.30 petang untuk mencari empat mangsa dipercayai tertimbus.

“Bagaimanapun kita tidak menjumpai mangsa terbabit di lokasi. Kita telah menggunakan lima elemen iaitu siasatan tempat kejadian (CSI), Unit Anjing Pengesan (K9), telah korek keseluruhan runtuhan, penggunaan drone dengan bantuan Unit STORM.

“Kesimpulan akhir kita adalah empat mangsa yang kita jangka berada di bawah timbunan yang diberitahu majikan, sebenarnya melarikan diri selepas kejadian.

“Susulan itu, polis telah melakukan pencarian dan telah mengesan kesemua empat mangsa, masih hidup dan selamat, cuma melarikan diri kerana ketakutan dipercayai kerana tiada dokumen (perjalanan atau kerja),” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, petang tadi.

Justeru, katanya pasukan mencari dan menyelamat berpuas hati bahawa tiada lagi mangsa dalam kejadian berkenaan dan operasi ditutup  secara rasmi pada jam 6.30 petang.

Tambahnya, empat pekerja binaan yang melarikan diri kini ditahan untuk siasatan lanjut.

Ini bermakna jumlah mangsa kekal lima orang iaitu tiga maut dan dua cedera parah.

Mangsa maut dikenalpasti sebagai Md Ahed Ali, 42, Mohammad Mokaddes Ali, 46, dan Mohammad Sayful Islam, 29 tahun.

Manakala mangsa cedera pula Md Uzzal Mridha, 30 dan Md Radzli Ahamad, 33 tahun.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini