comscore
Tumpuan :
Nasional

Mahkamah Persekutuan diberi kuasa semak semula kes 840 banduan hukuman mati

 

KUALA LUMPUR:  Polisi penghukuman untuk 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori antara enam dasar yang terbabit dalam pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

Ia dibentangkan bagi bacaan kali pertama oleh Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat hari ini .

RUU itu akan dibentang bagi bacaan kali kedua pada 3 April ini.

Pindaan membabitkan enam dasar  iaitu Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37), Akta Senjata 1960 (Akta 206), Akta Penculikan 1961 (Akta 365), Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234), Akta Perdagangan Strategik 2010 (Akta 708), Kanun Acara Jenayah.

Mengikut dasar pertama pindaan itu, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau hukuman penjara maksimum 30 tahun yang boleh dilanjutkan sehingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali bagi kesalahan menyebabkan kematian iaitu bagi Seksyen 130C, 130I, 130N, 130O, 130QA, 130ZB, 302, dan 374A Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 3 dan 3A Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 [Akta 37]) yang tidak menyebabkan kematian, mahkamah hanya boleh menjatuhkan hukuman penjara maksimum 30 tahun yang boleh dilanjutkan sehingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali.

Kesalahan Seksyen 121A Kanun Keseksaan iaitu membabitkan kesalahan terhadap tubuh Yang di-Pertuan Agong, raja atau Yang Dipertua Negeri, walaupun tidak menyebabkan kematian, hukuman mati masih dikekalkan dan tergantung kepada budi bicara mahkamah untuk menjatuhkan hukuman mati atau hukuman penjara maksimum 30 tahun yang boleh dilanjutkan sehingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali.

Selain itu, terma ‘pemenjaraan sepanjang hayat’ akan digugurkan daripada semua akta berkaitan.

Bagi dasar kedua pula, hukuman mati mengikut budi bicara mahkamah sedia ada dimansuhkan dan digantikan dengan hukuman penjara maksimum 30 tahun yang boleh dilanjutkan sehingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali bagi kesalahan mengikut Seksyen 14 Akta Senjata 1960 (Akta 206) dan Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 [Akta 37].

Bagaimanapun, hukuman mati mengikut budi bicara mahkamah dikekalkan dan hukuman pemenjaraan sedia ada digantikan dengan penjara maksimum 30 tahun yang boleh dilanjutkan sehingga 40 tahun bagi Seksyen 121 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Bagi Seksyen 9 hingga 12 Akta Perdagangan Strategik 2010 (Akta 708), pemenjaraan sepanjang hayat digantikan dengan hukuman penjara maksimum 30 tahun yang boleh dilanjutkan sehingga 40 tahun.

Hukuman mati mengikut budi bicara mahkamah sedia ada dimansuhkan dan hukuman pemenjaraan digantikan dengan hukuman penjara maksimum 30 tahun yang boleh dilanjutkan sehingga 40 tahun dan sebat, bagi Seksyen 364 Kanun Keseksaan [Akta 574] dan Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 [Akta 365].

Selain itu terdapat cadangan peruntukan Seksyen 307(2) Kanun Keseksaan [Akta 574] untuk dimansuhkan.

Dasar ketiga bagi RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 ialah mengubah bilangan sebatan daripada minimum 15 kali kepada minimum 12 kali jika hukuman mati tidak dijatuhkan bagi Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234], manakala Subseksyen 2A dan 2B dimansuhkan.

Mengikut dasar keempat pula, kesalahan lain mengikut budi bicara mahkamah dikekalkan hukuman sedia ada bagi 12 kesalahan iaitu Seksyen 132, 194, 305, 376(4) dan 396 Kanun Keseksaan [Akta 574] serta Seksyen 38, 41, 47, 48, 88(3)(a) serta 88(3)(b) Akta Angkatan Tentera 1972 [Akta 77] dan Seksyen 121 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655].

Dasar kelima RUU berkenaan membenarkan Mahkamah Persekutuan mengkaji semula hukuman mati yang dikekalkan atau dijatuhkan mengikut Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37), Akta Senjata 1960 (Akta 206), Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234), Akta Penculikan 1961 (Akta 365) sebelum berkuat kuasa pindaan itu walaupun permohonan bagi pengampunan mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan ditolak.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan tidak boleh mengkaji semula sabitan terhadap orang yang disabitkan hukuman mati, kecuali dengan memanggil dan memeriksa rekod prosiding, alasan penghakiman dan dokumen lain berkaitan.

Akta baharu RUU Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 diperkenalkan supaya Mahkamah Persekutuan diberikan bidang kuasa melalui suatu akta Parlimen untuk menyemak semula kes 840 banduan hukuman mati .

Ia termasuk 25 banduan hukuman mati yang ditolak rayuan pengampunan oleh Lembaga Pengampunan.

Ia juga terpakai bagi 117 banduan yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hayat iaitu 47 banduan yang dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah dan 70 banduan dihukum mati yang diberi peringanan hukuman oleh Lembaga Pengampunan Negeri.

Sementara itu, dasar keenam menggariskan 476 banduan hukuman mati yang belum selesai proses rayuan di peringkat mahkamah akan tertakluk kepada RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang akan berkuat kuasa kelak.

Pemansuhan hukuman mati mandatori ini bertujuan menghargai dan menghormati nyawa setiap individu, pada masa sama, memastikan keadilan dan kesaksamaan bagi semua pihak termasuk mangsa pembunuhan, kes pengedaran dadah serta keluarga mangsa.

Susulan itu, dasar yang dicadangkan melalui RUU ini adalah jalan tengah untuk memastikan keadilan dipelihara bagi semua.

Loading...
Terkini