comscore
Tumpuan :
Nasional

Sanggup berhabis RM90,000 demi AJL37 – Aina Abdul

Juara Anugerah Juara Lagu 37, Aina Abdul pada malam Anugerah Juara Lagu 37 di Axiata Arena Bukit Jalil.

Kuala Lumpur : Sanggup berhabis RM90,000. Itulah pelaburan yang dibayar penyanyi Aina Abdul demi merealisasikan sebuah persembahan yang memukau dan meninggalkan impak sehingga diangkat sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-37, semalam.

“Untuk persembahan lagu hasil ciptaan sepenuhnya berjudul Terus Hidup itu, kos perbelanjaan yang dikeluarkan merangkumi busana, props awan dan segalanya yang anda lihat malam ini (semalam) di Axiata Arena, Bukit Jalil.” katanya.

“Tidak dinafikan saya memang berhabis banyak untuk AJL37 ini. Entah kenapa saya ada satu perasaan dan naluri yang kuat untuk lagu Terus Hidup ini. Berada pada tahap ini saya mahukan sesuatu hasil yang berbaloi dalam kerjaya.

“Saya sedar untuk itu saya perlu buat pelaburan untuk diri sendiri, malah saya turut membawa semangat pasukan saya dalam Aina Abdul Entertainment termasuk 30 orang yang menjayakan konsep persembahan saya.

“Semangat merekalah yang membawa saya ke sini. Saya sudah dikurniakan rezeki dan ada ruang untuk membuat ‘pelaburan’ dalam persembahan ini,” katanya.

Selain dijulang sebagai juara AJL37, Aina turut diumumkan pemenang Vokal Terbaik menepikan nama-nama hebat lain seperti Ernie Zakri, Dayang Nurfaizah, Marsha, Shila Amzah dan Liza Hanim.

Ditanya mengenai konsep persembahan, Aina berkata, awan adalah simbolik untuk arwah bapanya, Abdul Ghani Abdullah yang sudah tiada.

“Untuk beberapa bulan ini saya kerap ke luar negara atas urusan kerja. Jadi sepanjang berada dalam kapal terbang, saya melihat kepulan awan yang bergelora ada juga dalam keadaan tenang.

“Melihat indahnya awan, saya terfikir satu idea untuk persembahan di AJL37. Saya juga mendedikasikan persembahan Terus Hidup ini kepada arwah ayah saya.

“Awan yang tertera di atas pentas itu merupakan simbolik kepada orang yang sudah tiada, yang tidak dapat dikawal oleh seorang manusia biasa,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini