comscore
Tumpuan :
Nasional

Sarawak bakal hasilkan makanan ternakan bermutu daripada sisa kelapa sawit

KUCHING: Kemudahan kilang bagi menghasilkan makanan ternakan daripada sisa kelapa sawit milik Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak SALCRA dijangka akan mula beroperasi pada penghujung tahun ini.

Kilang terbabit yang dibina dengan peruntukan RM35 juta kini dalam fasa pembinaan di Saratok diberi tanggungjawab untuk menghasilkan sumber makanan ternakan untuk kegunaan tempatan daripada sisa kelapa Sawit.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, jumlah ladang kelapa sawit yang luas menjadi antara sebab utama SALCRA dipilih untuk melaksanakan projek rintis terbabit.

“SALCRA mempunyai banyak ladang kelapa sawit dan mereka hanya perlu kumpulkan ia di satu tempat dan manfaatkan sisa komoditi itu untuk dijadikan makanan haiwan ternakan yang bermutu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan bangunan Ibu Pejabat Yayasan Kebudayaan Dayak (DCF) dan Dewan Perdagangan dan Industri Dayak  (DCCI) di sini, hari ini.

Jelasnya, pengeluaran itu secara tidak langsung akan mengurangkan kebergantungan kepada import makanan haiwan yang seterusnya membantu mengurangkan kos pengeluaran hasil ternakan.

“Semua ini boleh dikeluarkan jadi bermakna dia konsep perniagaan terpaksa kita tukar dengan berasaskan kepada sumber yang ada pada kita yang boleh menambah nilai kepada kegiatan ekonomi kita,” katanya.

Terdahulu,  Tan Sri Abang Johari pada Januari 2023 telah memberikan tempoh enam bulan kepada Kementerian Perusahaan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak MFICORD untuk melakukan kajian bagi menghasilkan makanan haiwan ternakan daripada sisa kelapa sawit.

Langkah itu bertujuan memanfaatkan ekonomi kitaran di negeri terbabit bagi mengawal harga pasaran komoditi terutamanya ayam dan telur.

Loading...
Terkini