comscore
Tumpuan :
Nasional

Sarawak cadang manfaatkan keluaran sampingan kelapa sawit

Sidang media Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom di Kuching

KUCHING: Sarawak akan memanfaatkan keluaran sampingan daripada kelapa sawit untuk dijadikan sebagai sumber makanan ternakan, baja dan sumber tenaga baharu.

Pendekatan itu bertujuan mengurangkan kebergantungan import bahan mentah sekaligus menstabilkan kesan kenaikan harga baja dan makanan ternakan.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, ketika ini tumpuan diberikan kepada penghasilan makanan ternakan daripada keluaran sampingan berkenaan agar ia dapat membantu mengurangkan harga daging dan produk lain yang diimport atau diperoleh dari dalam negara.

Katanya, sebagai permulaan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) yang mempunyai lima kilang kelapa sawit diamanahkan untuk mengilang makanan haiwan menggunakan produk sampingan daripada kilang terbabit.

“Dengan kapasiti ini, mereka mampu mengeluarkan 100,000 tan metrik setahun iaitu kira-kira 10 peratus daripada apa yang diperlukan di negeri ini. “Jadi kita boleh menstabilkan harga makanan ternakan ini yang menyebabkan kenaikan harga daging yang kita makan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi penggulungan membabitkan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kuching.

Rundi berkata, sebanyak 85 kilang kelapa sawit kini beroperasi di Sarawak dan  jumlah itu mampu membekalkan lebih banyak makanan ternakan yang diperlukan oleh negeri terbabit.

Justeru, Sarawak tegasnya perlu memperkasakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor pertanian bagi meningkatkan kualiti produk terbabit.

Tambahnya, R&D dalam sektor berkenaan juga akan turut memudahkan tugas untuk mengurangkan penularan virus dan penyakit yang menjejaskan ternakan di negeri berkenaan.

Loading...
Terkini