comscore
Tumpuan :
Nasional

Sarawak perlu dana Persekutuan bangunkan infrastruktur estet padi

Oleh: Kadir Edison

KUCHING: Sarawak memerlukan dana daripada Kerajaan Persekutuan bagi membangunkan sistem peparitan dan saliran untuk penanaman padi berskala besar.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari berkata, pelaburan berjumlah satu bilion ringgit diperlukan untuk membangunkan sistem terbabit hanya di kawasan Banting Sri Aman yang telah  dikenal pasti sebelum ini.

Menurut beliau, perbincangan bersama kerajaan persekutuan sebelum ini telah mengenalpasti beberapa kawasan yang sesuai untuk melaksanakan projek estet padi di negeri berkenaan termasuk, Banting, Sri Aman, Lubok Punggor, Simunjan, Tanjung Purun, Lundu, Betong dan kawasan penanaman padi bukit di Baram.

“Tanpa sistem saliran yang bersesuaian dan  prasarana berkaitan, usaha untuk mewujudkan kawasan estet padi itu berkemungkinan tidak akan dapat dilakukan dengan efektif,” kata beliau.

Beliau yang merasmikan  Sarawak Agrofest 2023 di sini juga berkata, usaha juga perlu dilakukan untuk meningkatkan pendapatan petani padi menerusi industri hiliran berkaitan memandangkan hasil padi merupakan hasil kawalan.

“Untuk Sarawak kita bukan hanya kepada pengeluaran beras sahaja tetapi juga sebagai bahan mentah untuk industri hiliran lain.

” Kita juga perluaskan pendapatan petani padi ini sebab kalau tidak pendapatan mereka hanya akan setakat itu sahaja dan tidak akan berubah,” katanya.

Tambah Abang Johari, Kerajaan Sarawak turut mengkaji cadangan untuk menggazetkan kawasan yang telah dikenalpasti untuk estet padi itu sekiranya terdapat keperluan untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, tegas beliau, kawasan terbabit hanya dipertimbangkan untuk melaksanakan zon-zon penanaman  mengikut kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti itu.

Ketika ini kerjasama antara kerajaan Negeri dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) turut dilaksanakan bagi melakukan penyelidikan untuk meningkatkan produktiviti padi kepada tiga kali tuaian dalam tempoh 18 bulan.

| ARTIKEL BERKAITAN:

Loading...
Terkini