comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Satu undi kepada Sanusi, satu undi menyokong REE terus dicuri’ -Saifuddin

Oleh : Rusyaidi Hafiz Shahid

ALOR SETAR : Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mendedahkan terdapat satu lagi surat kebenaran dikeluarkan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah pada 3 Mei lalu kepada satu syarikat untuk lesen carigali dan eksplorasi.

Beliau menjelaskan, surat kebenaran diberikan kepada syarikat Jangka Bakat Mineral Sdn Bhd itu bagi pengambilan sampel unsur nadir bumi (REE) di Kampung Bendang Man, Ladang MBI Kedah Felcra Berhad.

“Saya difahamkan atas nama usaha ekplorasi ini juga telah dikeluarkan hampir lima guni sampel (REE).

“3 Mei surat CEO MBI kepada Jangka Bakat Mineral Sdn Bhd bagi kebenaran masuk tanah MBI Bendang Man, untuk pengambilan sampel, sampel apa sampai lima guni ?”

“Jadi Sanusi kena tanya CEO Sobri berapa banyak lagi kelulusan MBI untuk lesen pengambilan sampel ini,” katanya pada sidang media di Pejabat Keadilan Alor Setar, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri memaklumkan polis sudah mengambil tindakan terhadap kes itu dengan beberapa tangkapan dibuat.

“Saya boleh sahkan ada tangkapan dibuat beserta lima guni sampel, berapa ramai ditangkap itu kena tanya polis, saya tak mahu ganggu siasatan mereka,”

Datuk Seri Saifuddin menjelaskan lagi, beliau kesal ketika pendedahan mengenai kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik dibuat, satu lagi kecurian berlaku lagi atas nama lesen eksplorasi.

Justeru, beliau menegaskan banyak lagi pendedahan akan dilakukan berkait isu kecurian REE di Kedah dan bukan hanya semata adanya Pilihan Raya Negeri.

“Pendedahan saya bukan untuk pilihan raya, ini untuk hebahkan kepada rakyat apa yang berlaku.

“Sebab itu saya kata menjelang 48 jam yang terakhir, satu undi kepada Sanusi bermaksud satu undi menyokong REE terus dicuri.

“Satu undi kepada parti Kerajaan Perpaduan bermaksud satu undi untuk menyekat kecurian daripada terus dilakukan.

“Satu undi kepada Sanusi bukan untuk ‘The Greater Kedah’ tetapi ‘The Greatest Robbery of REE”, ujarnya lagi.

Loading...
Terkini