comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Saya lihat Damia dan Aisyah berpegangan tangan terjun ke sungai’ -Saksi

MOHD Noor (tengah) dan Farah, ibu bapa kepada Nur Damia Qiasara yang dikhuatiri lemas di sungai Kampung Petai Dusun kira-kira jam 6.30 petang.-Foto: NSTP

RANTAU PANJANG: “Saya lihat Damia dan Aisyah berpegangan tangan terjun ke sungai sebelum mereka dilihat ‘tenggelam timbul’ dan hilang begitu sahaja,” kata Nurin Natasha Qistina Mohd Fairul, 11.

Nurin adalah salah seorang saksi kejadian murid perempuan Tahun Lima, Siti Aishah Mahzi yang ditemukan lemas, manakala rakannya, Nur Damia Qiasara Mohd Sabri, masih hilang selepas terjatuh di sungai Kampung Petai Dusun, di sini, dalam kejadian jam 6.30 petang tadi.

Katanya, dia sendiri terkejut dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan sebelum terus bertindak memanggil bapa Nur Damia, Mohd Sabri mohd Noor, 33, untuk memberitahu tentang apa yang terjadi.

“Mereka berdua memang rakan baik yang selalu bersama-sama. Saya sudah melarang mereka untuk tidak terjun kerana bimbang melihat arus yang deras susulan sekarang adalah musim tengkujuh.

“Mungkin kerana teruja, mereka tidak mendengarnya dan terus terjun ke sungai ini. Tiada langsung kedengaran suara meminta tolong sebaliknya mereka terus dibawa arus sekelip mata.

“Saya sangat sedih apabila dimaklumkan bahawa Siti Aishah sudah tiada kerana mereka berdua juga adalah sahabat baik saya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sungai Kampung Petai Dusun, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan seorang murid perempuan Tahun Lima ditemukan lemas, manakala rakannya masih hilang selepas terjatuh di sungai Kampung Petai Dusun, di sini, kira-kira jam 6.30 petang tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Azmi Jaafar, berkata Siti Aishah Mahzi, 11, ditemukan jam 7.15 malam sebelum dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tanah Merah (HTM) di sini.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini