comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Sektor swasta juga perlu naikkan gaji pekerja mereka – PM

 

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap sektor swasta dapat mencontohi langkah kerajaan menaikkan gaji penjawat awam seperti diumumkannya hari ini.

Perdana Menteri berkata ada pihak swasta yang mencatatkan keuntungan berganda hasil daripada produktiviti dan pengorbanan pekerja mereka.

“Ini sebagai langkah permulaan, pihak swasta (diharap dapat) meningkatkan gaji pekerja mereka.”

“Ada syarikat besar yang mencatat keuntungan berganda daripada produktiviti (pekerja). Apa salahnya kalau syarikat untung berjuta bagilah sedikit kepada pekerja,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Sambutan Hari Pekerja 2024 bertemakan Pekerja Kesuma Bangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Terdahulu, Anwar mengumumkan bahawa penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus.

Kenaikan membabitkan peruntukan mencecah lebih RM10 bilion dan akan dilakukan mulai 1 Disember depan.

Menurut Anwar, kenaikan itu merupakan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang diperincikan, kerajaan juga akan meningkatkan gaji bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan.

“Pada masa ini jumlah pendapatan minimum, meliputi gaji dan elaun tetap penjawat awam sedia ada adalah RM1,795 sebulan,” kata Perdana Menteri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini