comscore
Tumpuan :
Nasional

Semua pihak mesti henti pertikai kuasa Agong – Anwar

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua pihak  berhenti mempertikai kuasa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam menyelesaikan isu pelantikan Perdana Menteri.

Anwar berkata, pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Ke-10 dibuat berdasarkan kebijaksaaan Yang di-Pertuan Agong mengikut kuasa dalam Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, ujarnya semua pihak perlu menerima kenyataan pelantikan berkenaan.

Beliau berkata, perkara itu perlu diperjelas bagi mengelak tohmahan dan kekeliruan mengenai fakta dan kronologi pelantikan Perdana Menteri pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Walaupun bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa mempunyai sokongan 115 Ahli Parlimen, tetapi belum tempoh had ditetapkan pada jam 2 petang keesokannya.

“Sembilan Ahli Parlimen UMNO pun menarik (balik sokongan terhadap Muhyiddin), selain GPS (Gabungan Parti Sarawak) telah memberi perakuan untuk menyerahkan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk memutuskannya.

“Maka, jumlah itu (sokongan terhadap Muhyiddin) sudah tentunya dipertikaikan dan ia dimaklumkan kepada Majlis Raja-Raja yang kemudian membuat keputusan sebulat suara menetapkan calon Perdana Menteri yang baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas  di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Loading...
Terkini