comscore
Tumpuan :
Nasional

Semua TASKA di Negeri Sembilan wajib pasang CCTV

 

Foto : NSTP

SEREMBAN: Semua taman asuhan kanak-kanak (TASKA) di Negeri Sembilan diwajibkan memasang kamera litar tertutup (CCTV) sebagai langkah berjaga-jaga jika berlaku sesuatu kejadian membabitkan kanak-kanak atau bayi.

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, ketetapan itu dikenakan ke atas TASKA yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kecuali yang beroperasi di rumah.

“Arahan ini berkuat kuasa 8 Jun 2015 melalui Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Malaysia mengenai pelaksanaan pemasangan CCTV.

“Selaras arahan pekeliling ini, mana-mana TASKA yang mengemukakan pendaftaran disyaratkan wajib memasang CCTV termasuk di Negeri Sembilan.

“Ia sebagai langkah pencegahan kejadian seperti pengabaian, penderaan dan kes tersedak susu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nicole berkata, berdasarkan statistik, terdapat 138 TASKA yang berdaftar di Negeri Sembilan sehingga Mei lalu.

“Mengikut Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984, pegawai JKM dilantik sebagai Pegawai Diberi Kuasa (PDBK) yang bertindak dalam bidang kuasa dan kewajipan di bawah Akta 308 iaitu mengadakan pendaftaran, pengawalan dan pemeriksaan ke atas taman asuhan kanak-kanak.

“PDBK di peringkat negeri dan daerah akan melaksanakan pemantauan sebanyak dua kali setahun di semua TASKA yang berdaftar.

“Daerah Seremban merekodkan jumlah TASKA berdaftar paling banyak iaitu 101, diikuti Port Dickson (13), Tampin (11), Jempol (7), Rembau (4), Jelebu (1) dan Kuala Pilah (1),” katanya.

Tambah beliau, terdapat 54 TASKA tidak berdaftar di negeri ini iaitu 47 di Seremban, tiga di Jempol dan masing-masing dua di Kuala Pilah serta Port Dickson.

“Antara sebab dan alasan yang sering menjadi faktor kepada ketidakpatuhan untuk mendaftarkan TASKA ialah masalah di peringkat pengendali dan sokongan di peringkat agensi teknikal.

“Pihak JKM akan membantu dan memberikan khidmat nasihat kepada pihak pengusaha TASKA dalam urusan pendaftaran.

“Pengusaha dan bakal pengusaha boleh hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah untuk sebarang pertanyaan.

“Bakal pengusaha dinasihatkan untuk berdaftar terlebih dahulu sebelum beroperasi bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini mungkin berlaku,” katanya.

Loading...
Terkini