comscore
Tumpuan :
Nasional

Mayat lelaki ‘dibuang’ dekat hospital

SEREMBAN: Mayat seorang lelaki dengan kesan luka pada beberapa bahagian badan ditemui di Jalan Toman 8, berhampiran sebuah hospital swasta, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, mayat lelaki berusia 39 tahun berkenaan ditemui dalam keadaan tertiarap dengan kesan darah pada bahagian belakang dan betis.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya sudah mengenalpasti identiti lelaki berkenaan dan masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

“Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban menerima maklumat daripada orang awam menyatakan terdapat seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan kecederaan.

“Siasatan awal mendapati mangsa seorang lelaki berusia 39 tahun dan disahkan sudah meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan pada pakaian mangsa mendapati barang peribadi masih berada dalam milikan lelaki berkenaan.

“Pemeriksaan awal pada anggota badan juga menemui kesan kecederaan pada muka dan badan. Setakat ini punca kematian masih belum dapat disahkan lagi.

“Mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk bedah siasat. Bagaimanapun setakat ini kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan yang tular di media sosial bahawa mayat berkenaan dibuang di lokasi itu, Arifai menegaskan pihaknya perlu menunggu keputusan laporan bedah siasat terlebih dahulu.

“Buat masa ini kita tidak pasti dan masih menjalankan siasatan.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Adi Khusaini Saripudin di talian 0127702282 atau IPD Seremban 066033222,” katanya.

Terdahulu, tular di laman Facebook mendakwa terdapat individu yang membuang mayat berkenaan di lokasi, bagaimanapun kawasan berkenaan didapati bukan kawasan sunyi.

Loading...
Terkini