comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Jenazah dua anggota polis dibawa keluar dari HSI

FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Jenazah dua anggota polis yang maut dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram awal pagi semalam dibawa keluar dari Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini pagi ini.

Kedua-dua jenazah anggota polis itu dibawa keluar pada jam 9.15 pagi selepas proses bedah siasat selesai malam tadi.

Jenazah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, dibawa ke Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor di sini, untuk solat jenazah dan penghormatan terakhir.

Jenazah dua anggota itu kemudiannya akan dibawa ke kampung halaman masing-masing iaitu di Bidor, Perak dan Kuantan, Pahang.

Terdahulu, Azhar Khaiden, 54, bapa kepada Ahmad Azza Fahmi kelihatan tiba di Jabatan Perubatan Forensik HSI bagi menuntut jenazah anaknya pagi ini untuk dibawa pulang ke kampung halaman untuk dikebumikan.

“Malam tadi kami sekeluarga tidur di kediaman Allahyarham,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan jabatan itu hari ini.

Guru Sekolah Kebangsaan Felda Sungai Kelah, Sungkai, Perak itu berkata jenazah anaknya akan dikebumikan di Kampung Poh, Bidor.

FOTO: NSTP

Ahmad Azza Fahmi dan Muhamad Syafiq maut manakala seorang lagi rakan mereka cedera dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada jam 2.45 pagi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan suspek lelaki yang ditembak mati dalam insiden itu dipercayai ahli Jemaah Islamiyah.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini